Kolam Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin tercemar e-coli

30 Jul 2024 • 4:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Beberapa kolam utama di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di Johor Bahru pada Selasa disahkan Jabatan Kimia mengandungi bakteria e-coli.

JOHOR BAHRU - Kandungan air dalam kolam renang dan kolam terjun di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin di sini disahkan mengandungi bakteria escherichia coli (e-coli).

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, perkara itu disahkan selepas keputusan sampel air yang dihantar ke Jabatan Kimia pada Ahad diperoleh pada pagi Selasa.

"Jabatan Kimia sudah menjalankan analisis terhadap sembilan sampel air yang dikumpul termasuk kolam renang utama, kolam terjun, tandas dan tangki takungan.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kimia, kesemua sembilan sampel telah tercemar oleh bakteria e- coli.

"E-coli ialah spesies bakteria yang hidup di dalam usus manusia dan haiwan yang boleh menyebabkan jangkitan melalui makanan, air, atau sentuhan yang tercemar dengan najis membawa bakteria," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pantri Kepada Hospital Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Selasa.

Pada Khamis, 19 pelajar daripada 900 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan itu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami gejala seperti, muntah-muntah, demam dan kulit gatal dipercayai terkesan dengan air dalam kolam renang dan kolam terjun di pusat akuatik berkenaan.

"Saya turut meminta pihak Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) membuat siasatan berhubung insiden berkenaan.