Kolam renang di Kompleks Sukan Kota Kinabalu dibuka pertengahan tahun depan

30 Nov 2023 • 1:58 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kolam renang di Kompleks Sukan Kota Kinabalu hanya akan dibuka untuk orang ramai pada pertengahan tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin ketika menjawab soalan yang dibangkitkan Adun Tanjung Aru, Datuk Junz Wong dalam ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri pada Rabu berkata, penutupan itu adalah disebabkan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf dan orang ramai telah dimaklumkan melalui notis yang dipamerkan di premis itu dan juga di media sosial.

Beliau berkata kerja-kerja itu hanya dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2024. Pada masa ini hanya kerja-kerja menaik taraf papan markah elektronik dan pendawaian sistem elektrik yang sudah dilakukan.

Menurut beliau, pembinaan bumbung untuk kolam kanak-kanak akan siap awal bulan depan manakala kerja sistem perpaipan kolam renang itu hanya akan dimulakan pada awal Januari dan tempoh kerja adalah kira-kira tiga bulan.

“Bagi memastikan persiapan atlet negeri menghadapi Sukma Sarawak tahun depan berjalan lancar, sesi latihan mereka diadakan di kolam renang Kompleks Sukan Penampang sehingga penghujung Januari 2024.

“Penjadualan program latihan mereka di samping kegunaan awam telah diselaraskan bagi memastikan mereka tidak terjejas, dan kemudahan kolam juga dibuka sehingga petang bagi memenuhi tujuan itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri itu juga berkata kira-kira 7,000 anggota termasuk atlet akan terlibat dalam Sukan Sabah ke-10 yang dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu, Ranau, Tuaran dan Keningau dari 16-22 Disember.

Kota Kinabalu mempunyai jumlah terbesar dengan 3,110 diikuti Tuaran (1,298), Putatan (988), Penampang (794), Ranau (235), Keningau (140) dan selebihnya pegawai setiausaha.

Sebanyak 22 sukan akan dipertandingkan dengan 182 pingat emas, 182 perak dan 262 gangsa untuk dimenangi daripada 103 acara bagi lelaki, 75 bagi wanita dan empat kategori campuran.

Beliau berkata temasya dwitahunan di bawah program pembangunan sukan berprestasi tinggi itu menjadi platform kepada atlet dari 28 daerah seluruh Sabah bertanding dan memberi peluang kepada mereka untuk dikenal pasti dan dipilih mewakili negeri pada Sukma 2024 di Sarawak.

Beliau juga berkata kontinjen Sabah menaruh harapan tinggi untuk memenangi lebih banyak pingat emas tahun depan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.