
Kota Kinabalu: Meilaura Dora Jimmy merangkul pingat perak pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia ke-14 yang berlangsung di Oak Valley Resort, Wonju City, Wilayah Gangwon, Korea Selatan baru-baru ini.
Atlet Sabah itu terlepas kejuaraan selepas tewas kepada atlet dari Vietnam, Dinh Kim Loan, dalam kategori bina badan wanita sehingga 55kg, sementara tempat ketiga ialah Sabita Bania dari India.
Dia juga mengambil bahagian dalam kategori berpasangan campuran bersama Azri Sefri tetapi terlepas podium selepas menduduki tempat kelima.
Ia adalah penampilan keenamnya dalam kejohanan itu. Di Thailand tahun lalu, dia turut memenangi pingat perak dalam kategori bina badan wanita terbuka dan gangsa dalam kategori berpasangan campuran.
