
KOTA BHARU - Kolam renang Sultan Yahya Petra di sini yang dibina sejak 1972 akan segera dibaik pulih bagi menjamin keselamatan pengguna khususnya kanak-kanak B40 yang menyertai kelas renang percuma anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, walaupun fasiliti berkenaan milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihaknya akan membantu usaha baik pulih itu kerana kemudahan terbabit satu-satunya kolam renang milik kerajaan di negeri ini.
“Kami lihat banyak bahagian lantai kolam sudah pecah, tandas lelaki dan perempuan juga memerlukan pembaikan.
“Ini bukan soal kemewahan, tetapi keselamatan anak-anak kecil yang belajar berenang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Cabaran Robotik Belia ASEAN 2025 yang diadakan sebuah pasar raya di Tunjong di sini pada Khamis.
Beliau sebelum itu turut melawat kolam renang berkenaan sempena lawatannya ke Kelantan.
Hannah berkata, penilaian kos dan skop kerja terletak di bawah tanggungjawab KPM, namun KBS akan membantu setakat yang mampu bagi memastikan kemudahan tersebut boleh dimanfaatkan dengan selamat oleh rakyat Kelantan.
“Fokus KBS adalah beri kemahiran kepada anak-anak kecil terutama di kawasan yang kerap berlaku kes lemas dan banjir,” katanya lagi.
Dalam pada itu, KBS turut memberi jaminan bahawa persiapan Kelantan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 berjalan lancar dengan kerjasama erat kerajaan negeri.
Menurut Hannah, Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh dijangka siap sepenuhnya menjelang September 2027 dengan kemajuan pembinaan kini berada pada tahap 17.84 peratus.
“KBS dan Kerajaan Kelantan sudah bermesyuarat dan gerak kerja sedang berlangsung mengikut jadual.
“Setakat ini, tiada masalah,” katanya.

