
Masih ingat dengan artikel kami di Amanz tentang siri aksesori Razer bertemakan BLACKPINK tempoh hari? Aksesori tersebut merangkumi tetikus nirwayar, alas tetikus dan papan kekunci dan kini ia rasmi ditawarkan untuk pasaran global termasuk Malaysia. Kesemua koleksi ini diilhamkan daripada World Tour BLACKPINK dengan gabungan warna hitam dan merah jambu yang ikonik.
Antara produk yang ditawarkan ialah Razer Ornata V3 Tenkeyless (BLACKPINK Edition) yang merupakan papan kekunci RGB dengan suis Mecha-Membrane responsif, Razer DeathAdder Essential (BLACKPINK Edition) iaitu tetikus ergonomik klasik dengan suis mekanikal serta butang boleh ubah, dan Razer Gigantus V2 Medium (BLACKPINK Edition) iaitu alas tetikus licin yang melengkapkan set permainan.



Bagi yang berminat, harga jualan di Malaysia bermula RM133.90 untuk Razer Gigantus V2 Medium (BLACKPINK Edition), RM220.90 bagi Razer DeathAdder Essential (BLACKPINK Edition) dan RM532.90 untuk Razer Ornata V3 Tenkeyless (BLACKPINK Edition).
Jualan awal koleksi BLACKPINK x Razer akan dibuka pada 7 Mei 2026 secara eksklusif melalui Razer.com di seluruh dunia kecuali Kanada dan Jepun. Koleksi ini turut akan ditawarkan melalui pengedar sah terpilih bermula 14 Mei 2026. Untuk makluman, kerusi gaming Razer Enki X (BLACKPINK Edition) tidak akan ditawarkan di Malaysia.
