
“Rakyat Malaysia kini mengalami serangan jantung pada usia yang lebih muda iaitu sekitar 10 tahun lebih awal berbanding purata global. Keadaan ini berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”
Demikian kata pakar perunding kardiologi, Datuk Dr. Rosli Mohd. Ali ketika mengulas mengenai tanggapan bahawa orang muda tidak perlu risau penyakit jantung sehinggakan pemikiran seperti itu menjadi halangan untuk meningkatkan tahap kesihatan jantung di Malaysia.
Trend itu dapat dilihat dalam data kardiovaskular kebangsaan yang menunjukkan, kira-kira satu daripada empat pesakit sindrom koronari akut berusia di bawah 50 tahun.
Pada masa sama, penyakit jantung terus mengekalkan kedudukan sebagai punca utama kematian di Malaysia selama hampir dua dekad.
“Salah satu sebab penyakit jantung sering berlaku tanpa disedari ialah peningkatan paras kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL-C) atau lebih dikenali sebagai ‘kolesterol jahat’ yang berlaku dalam senyap selama bertahun-tahun tanpa menunjukkan sebarang gejala.
“LDL-C menyumbang kepada pembentukan mendapan lemak atau plak di dalam salur darah. Lama-kelamaan, plak ini boleh menyempitkan salur darah dan meningkatkan risiko mendapat serangan jantung atau strok,” katanya.
Tambah Dr. Rosli, ramai orang hanya mengaitkan masalah kolesterol tinggi dengan pemakanan tidak sihat, sebenarnya faktor genetik dan metabolisme kolesterol turut memainkan peranan penting dalam perkara tersebut.
Paras LDL-C setiap individu dipengaruhi oleh jumlah kolesterol yang dihasilkan dan disingkirkan oleh badan.
Ia melibatkan faktor seperti metabolisme hati dan faktor genetik lain, termasuk keadaan yang diwarisi atau kecenderungan genetik dalam keluarga.
“Sebahagian besar LDL-C sebenarnya dihasilkan oleh badan.
“Dalam sesetengah individu yang secara semula jadi menghasilkan lebih banyak kolesterol berbanding orang lain disebabkan faktor genetik, penyakit jantung dan strok mungkin berlaku pada usia yang jauh lebih muda.
“Pemakanan juga merupakan aspek sangat penting, khususnya diet yang tinggi kandungan lemak tepu dan lemak trans. Ia boleh merangsang hati untuk menghasilkan lebih banyak LDL-C, yang seterusnya akan meningkatkan paras kolesterol dan risiko penyakit kardiovaskular.

“Namun begitu, faktor gaya hidup sahaja mungkin tidak dapat menjelaskan sepenuhnya mengapa sesetengah orang yang kelihatan sihat boleh menghidap penyakit kardiovaskular,” katanya.
Antara pesakit termuda yang pernah ditemui Dr. Rosli adalah remaja yang baru berusia 18 tahun.
“Remaja itu mendapatkan rawatan selepas mengalami ketidakselesaan di dada. Siasatan lanjut menunjukkan ada sejarah penyakit jantung pada usia muda dalam keluarganya.
“Bapanya menghidap penyakit jantung pada usia 30-an dan meninggal dunia secara mengejut, bahkan beberapa adik-beradiknya turut didiagnosis mempunyai penyakit kardiovaskular pada usia muda. Dalam kes ini, latar belakang kesihatan keluarga mungkin merupakan salah satu faktor,” kongsinya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa risiko kardiovaskular tidak semestinya dapat dilihat dan tidak hanya berlaku pada orang lebih berusia.
Baru-baru ini, Dr. Rosli merawat seorang ahli sukan berusia 40 tahun yang kerap bersenam, mengekalkan berat badan yang sihat dan percaya dia mengamalkan gaya hidup yang betul.
“Tetapi apabila pemeriksaan lanjut dijalankan, kami mendapati ada beberapa sumbatan ketara pada arteri koronarinya.
“Kes ini mengingatkan kita bahawa berbadan langsing, aktif secara fizikal atau kelihatan sihat tidak semestinya seseorang itu terlindung daripada penyakit jantung.
“Anda tidak akan tahu risiko kardiovaskular sehinggalah menjalani pemeriksaan,” tambahnya.
Dr. Rosli turut berkongsi langkah-langkah pencegahan secara umum iaitu dengan mengamalkan pemakanan sihat, bersenam secara berkala, dan kekalkan berat badan sihat, elakkan merokok serta pastikan faktor-faktor risiko utama penyakit kardiovaskular dipantau secara berkala.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, individu yang mempunyai sejarah keluarga penyakit jantung pramatang, diabetes, hipertensi, obesiti atau sejarah merokok mungkin memerlukan saringan lebih awal dan kerap.
Selain itu, Dr. Rosli juga menekankan penjagaan kesihatan menyeluruh dengan menggabungkan pemakanan sihat, aktiviti fizikal berkala dan rawatan perubatan yang sesuai bagi mengurangkan risiko kardiovaskular.
“Ketiga-tiga komponen ini tidak boleh berasingan. Perubahan gaya hidup kekal sebagai asas tetapi bagi sesetengah orang, rawatan tambahan mungkin diperlukan untuk membantu mencapai dan mengekalkan paras LDL-C disarankan.
“Antara cabaran terbesar dalam pengurusan kolesterol adalah paras LDL-C yang tinggi biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya.
The post Kolesterol ‘jahat’ punca serangan jantung usia muda appeared first on Kosmo Digital.



