
KUALA LUMPUR - Polis membuka siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan satu hantaran di Facebook yang menyentuh isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya menerima 28 laporan polis dari seluruh negara berhubung hantaran tersebut.
“Kami telah memulakan siasatan selepas menerima 28 laporan polis dari seluruh negara.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Ketika ditanya sama ada Tony Pua akan dipanggil untuk memberi keterangan, Kumar berkata semua pihak berkaitan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Sudah tentu, kami akan memanggil semua pihak yang terlibat untuk membantu siasatan,” katanya.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas EXCO Selangor, Ronnie Liu, hadir sekurang-kurangnya sekali seminggu di Dataran Selangor bagi membaca Rukun Negara yang tertera pada plak di lokasi berkenaan serta menghormati institusi beraja.
Dalam hantaran di Facebook selepas itu, Tony Pua menyatakan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, dan kuasa Raja secara umumnya tertakluk kepada beberapa aspek tertentu termasuk adat Melayu, agama Islam dan fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hantaran tersebut mengundang kritikan daripada beberapa pemimpin politik yang mengecam kenyataan veteran DAP itu. – Getaran, 20 Mei 2026






