Polis terima 28 laporan berkaitan hantaran Tony Pua

LocalPolitics
20 May 2026 • 7:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis terima 28 laporan berkaitan hantaran Tony Pua
Kumar

 

KUALA LUMPUR - Polis menerima sebanyak 28 laporan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan hantaran di Facebook yang didakwa menyentuh isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar berkata, polis telah membuka siasatan berhubung hantaran berkenaan selepas menerima laporan yang dibuat di seluruh negara.

“Kita telah memulakan siasatan selepas menerima 28 laporan polis dari seluruh negara.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Ditanya sama ada Tony Pua akan dipanggil, Kumar berkata, semua pihak berkaitan akan dipanggil bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

Pada Selasa, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu hadir sekurang kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi membaca Rukun Negara yang ditulis di plak di situ selain menghormati institusi raja.

Susulan itu, Tony Pua dalam hantaran di Facebook menyatakan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa Raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Hantaran itu mengundang kritikan daripada beberapa pemimpin politik yang membidas kenyataan veteran DAP berkenaan.