SEREMBAN - "Saya tak mahu komen panjang tentang itu, tapi setakat saya boleh katakan komen negara sendiri, jangan komen negara orang."
Demikian kenyataan sinis Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung sindiran secara halus bekas Ahli Parlimen Dilantik (NMP) Singapura, Calvin Cheng yang menyindir Malaysia kerana berunding dengan Iran bagi mendapatkan laluan selamat di Selat Hormuz.
Tegas beliau, setiap negara yang merdeka mempunyai kepentingan strategik mengikut keutaman masing-masing, begitu juga Malaysia.
"Kita ada kita punya dasar luar dan semua negara yang merdeka berdaulat ada dasar luar masing-masing.
"Jadi kita tak perlulah menegur negara lain pasal dasar luar mereka," katanya ditemui pemberita selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah-Sekolah di Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau di sini pada Khamis.
Terdahulu Calvin memuji pendirian Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan yang menyatakan tindakan berunding mendapatkan laluan melalui selat itu boleh menjejaskan undang-undang antarabangsa.
Di Facebooknya, Calvin berkata, Singapura tidak berunding dengan pengganas, sebaliknya ada negara berbangga kononnya telah melakukan rundingan laluan, namun pada masa sama mengatakan mereka akan kehabisan minyak bulan depan.




