
KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan mengeluarkan komen seksis kepada pelajar Tingkatan Enam di sebuah forum awam, dengan menegaskan ia adalah ‘salah faham’.
FMT melaporkan, bagaimanapun, ketika disoal lanjut media berhubung isu terbabit, Fadhlina enggan mengulas lanjut.
Terdahulu, Anwar dilaporkan berseloroh dengan meminta nombor telefon pelajar wanita Tingkatan Enam ketika sesi soalan pada program ‘Temu Anwar’.
Pelajar terbabit bertanya beberapa soalan kepada Perdana Menteri, iaitu bagaimana Malaysia boleh menjadi negara kelas pertama pada masa hadapan serta apakah boleh dilakukan kerajaan dan belia ke arah merealisasikan cita-cita berkenaan.
Dia turut bertanya mengenai strategi Putrajaya dalam menangani kejatuhan nilai ringgit.
Memberi respon kepada soalan itu, Anwar memuji kelancaran pelajar terbabit menyampaikan soalan dan dilaporkan berkata ‘Jika saya lebih muda, saya akan meminta (untuk) nombor telefon anda’.
Ia sekali gus menerima kritikan pihak tertentu kerana kononnya didakwa berunsur seksis, sehingga mencetuskan kontroversi, termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang menggesa Perdana Menteri membuat permohonan maaf terbuka.

Sementara itu, wartawan veteran, A Kadir Jasin dilaporkan berkata, tidak mengapa untuk Perdana Menteri membuat jenaka, tetapi ia sepatutnya lucu dan bukan mengenai sesuatu yang tidak menyenangkan.
Katanya, sebagai Perdana Menteri, Anwar harus menunjukkan tingkah laku yang baik dan adab.
“Bergurau dengan meminta nombor telefon seorang pelajar remaja, sekiranya dia lebih muda, adalah di luar batas. Beliau adalah Perdana Menteri di zaman komunikasi terbuka dan spontan.
“Setiap perkataan, setiap gerak geri sentiasa dirakam dan dikongsi. Humor adalah seni. Kelucuan yang gagal boleh bertukar menjadi kesat,” katanya menerusi Facebook. – Getaran, 26 Jun 2023

