
GEDONG: Penjelasan mengenai komitmen pembangunan dan kemudahan penduduk setempat menjadi faktor Sahari Pet mengubah pendirian untuk tidak mencabar Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong.
Sahari, 75, berkata keputusan menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 itu turut mengambil kira pandangan yang diberikan Abang Johari kepadanya sehingga mendorong beliau untuk tidak menghantar borang pencalonan.
“Saya bagi laluan dengan Datuk Patinggi (Abang Johari). Dia ketua parti yang paling tinggi di Sarawak. Bila Datuk Patinggi ada beri pandangan, biarlah saya mengundur diri. Kita pun hormat dengan dia, jadi kita tak kisahlah kita undi dia saja,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon ditutup di Dewan Masyarakat Gedong di sini hari ini.
Mengulas hasrat awalnya untuk bertanding sebagai calon bebas, Sahari berkata beliau mahu memastikan masyarakat setempat, khususnya orang Melayu, turut mendapat perhatian dari segi penyediaan kemudahan dan pembangunan.
Kerana itu sebelum membuat keputusan untuk menarik diri, Sahari terlebih dahulu mendapatkan kepastian daripada Abang Johari mengenai komitmen menyediakan kemudahan kepada penduduk di kawasan itu.
“Sebelum kami hantar borang calon, kami tanya dulu, adakah dia akan beri kemudahan dengan kita? Dia kata okey. Bila dia dah beri penjelasan dan dia kata boleh. Jadi saya undur dirilah. Kita puas hati dengan penjelasan itu,” katanya.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jamain Wahab mengumumkan kemenangan Abang Johari pada 10.05 pagi, selepas hanya satu kertas pencalonan diterima bagi kerusi berkenaan.
Sebelum itu, Sahari yang dijangka mencabar Abang Johari, tiba di pusat penamaan calon kira-kira 8.20 pagi, diiringi pencadang Rambli Jamain dan penyokong Jonnie Sahari.
SPR mengumumkan sebanyak 29 calon disahkan menang tanpa bertanding pada PRN Sarawak kali ini. – BERNAMA
The post Komitmen Abang Johari punca calon Bebas tarik diri appeared first on Utusan Malaysia.






