PRN Sarawak: Kira-Kira 30 Kerusi GPS Dijangka Menang Tanpa Bertanding - Abang Jo

LocalPolitics
28 Nov 2026 • 1:31 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

PRN Sarawak: Kira-Kira 30 Kerusi GPS Dijangka Menang Tanpa Bertanding - Abang Jo

GEDONG, 28 Nov (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kira-kira 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka menang tanpa bertanding selepas tamat proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata kemenangan itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan pentadbiran gabungan berkenaan dalam menerajui pembangunan Sarawak.

Beliau berkata perkembangan itu turut menunjukkan rakyat mahu kesinambungan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri demi masa depan Sarawak.

“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana adanya keyakinan rakyat di Sarawak terhadap pentadbiran GPS yang menguruskan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong di Dewan Masyarakat Gedong di sini hari ini.

Abang Johari yang terdahulu diumumkan menang tanpa bertanding di kerusi Gedong berkata kemenangan itu adalah bukti keyakinan rakyat terhadap beliau dan GPS untuk meneruskan usaha pembangunan berdasarkan rancangan yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini.

Baca juga:

Mengulas pandangan bahawa kemenangan tanpa bertanding boleh melemahkan proses demokrasi, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata perkara lebih penting ialah memberikan ruang kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang akan mentadbir negeri itu bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Dari proses demokrasi, satu-satunya ialah memberikan mandat kepada rakyat dan terpulang kepada rakyat untuk memberikan keyakinan kepada parti mana yang akan menguruskan negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak meletakkan calon di Sarawak pada PRN kali ini, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai cerminan persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Beliau berharap persefahaman itu dapat menyumbang kepada perpaduan dan kestabilan negara, sekali gus membolehkan pembangunan dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

“Kestabilan politik yang terhasil juga penting dalam meyakinkan pelabur dari dalam dan luar negara untuk meningkatkan pelaburan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi Sarawak,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan calon bebas yang mesra GPS, termasuk sama ada mereka akan menerima peruntukan seperti calon parti kerajaan, beliau berkata setiap organisasi perlu mematuhi disiplin dan arahan parti.

“Kalau mereka mesra GPS, tetapi dia bertanding menentang GPS, itu tandanya tidak sepakat dengan GPS,” katanya tanpa menjelaskan sama ada individu berkenaan dikategorikan sebagai pembangkang atau sebaliknya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut berkongsi kejayaan tiga calon GPS di Parlimen Petra Jaya yang menang tanpa bertanding selepas proses penamaan calon ditutup.

Menerusi hantaran di Facebook, Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan dan Ahli Parlimen Petra Jaya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kemenangan berkenaan.

Tiga DUN tersebut ialah Tupong yang diwakili oleh Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, Samariang Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan DUN Satok Datuk Ibrahim Baki.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved