Komitmen meningkat, emas jadi penyelamat 

Business & FinancePersonal Finance
31 Aug 2026 • 6:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Komitmen meningkat, emas jadi penyelamat 

BAGI sebahagian golongan pertengahan, keputusan menggadaikan emas bukan lagi dilihat sebagai pilihan terakhir, sebaliknya menjadi satu daripada cara menguruskan aliran tunai apabila berdepan komitmen kewangan yang semakin meningkat.

Keadaan itu menunjukkan pemilikan emas tidak semestinya bermakna seseorang mempunyai lebihan wang tunai, malah aset berkenaan boleh menjadi ‘simpanan kecemasan’ yang dicairkan sementara apabila keperluan mendesak muncul.

Kakitangan swasta, Nur Aina Abdullah, 40-an, berkata, keputusannya menggadai emas kerana terlalu banyak komitmen yang perlu ditanggung.

“Dulu saya tidak pernah terfikir untuk gadaikan barang kemas kerana rasa pendapatan saya masih mencukupi. 

“Tetapi apabila banyak komitmen datang serentak, terutama bayaran rumah, kereta dan keperluan anak, ada masa duit tunai memang tidak cukup. Jadi, saya pilih gadai emas yang ada daripada membuat pinjaman baharu,” katanya.

Seorang lagi, usahawan kecil, Azman Shharin, 40-an, berkata, emas dapat membantu menyelesaikan masalah kewangan ketika menjalankan perniagaan.

“Bagi saya, emas yang disimpan boleh menjadi penyelamat apabila aliran tunai perniagaan agak perlahan. Saya tidak mahu jual emas kerana masih mahu menyimpannya untuk jangka panjang. 

“Jadi, menggadaikannya buat sementara waktu memberi saya ruang untuk mendapatkan tunai dan menebus semula apabila keadaan kewangan kembali stabil,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Jasni Sulong berkata, emas yang dicagarkan pelanggan hanya berfungsi sebagai jaminan kepada wang yang dipinjam dan bukannya digunakan untuk menjana keuntungan melalui faedah.

“Konsep al-Rahnu berbeza daripada pajak gadai konvensional kerana ia tidak mengenakan faedah ke atas pinjaman.

“Al-Rahnu perlu kekal sebagai kemudahan kewangan Islam yang membantu masyarakat mendapatkan tunai tanpa membebankan mereka dengan caj yang terlalu tinggi.

“Al-Rahnu pada asasnya bertujuan membantu orang yang memerlukan tunai dengan menggunakan barang berharga sebagai cagaran.Institusi tidak sepatutnya mengambil keuntungan hanya kerana memberikan pinjaman,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, institusi al-Rahnu dibenarkan mengenakan ujrah atau upah simpan bagi menampung kos menyimpan dan menjaga barang gadaian.

Katanya, caj berkenaan perlu munasabah dan mempunyai kaitan dengan perkhidmatan yang diberikan.

“Ujrah bukan faedah. Ia adalah bayaran untuk kos penyimpanan, keselamatan dan penjagaan barang gadaian.

“Masalah timbul jika caj tersebut terlalu tinggi sehingga tidak lagi menggambarkan kos sebenar perkhidmatan,” katanya.

Jasni berkata, keadaan itu boleh menyebabkan pelanggan membayar kos yang tinggi sehingga al-Rahnu akhirnya tidak banyak berbeza daripada pajak gadai konvensional dari sudut beban kewangan.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian kerana matlamat al-Rahnu bukan untuk mengaut keuntungan daripada kesempitan kewangan pelanggan.

Dalam pada itu, beliau berkata, al-Rahnu boleh memainkan peranan penting membantu peniaga kecil dan individu yang memerlukan wang dalam tempoh singkat.

Katanya, emas yang dimiliki boleh digunakan sebagai cagaran untuk mendapatkan tunai bagi tujuan modal perniagaan, membeli stok, membayar pembekal atau memenuhi keperluan kecemasan.

“Al-Rahnu boleh menjadi pilihan kepada mereka yang memerlukan wang dengan cepat tanpa perlu melalui proses pembiayaan yang terlalu rumit,” katanya. – UTUSAN

The post Komitmen meningkat, emas jadi penyelamat  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved