M40 paling ramai gadai emas

LocalBusiness & Finance
31 Aug 2026 • 6:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: M40 paling ramai gadai emas

KEDAI pajak gadai kini bukan lagi sekadar menjadi tempat golongan berpendapatan rendah mendapatkan tunai segera, sebaliknya semakin menjadi ‘persinggahan’ golongan pertengahan atau M40 yang berdepan tekanan aliran tunai dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Perubahan profil pelanggan itu semakin ketara apabila golongan M40 yang sebelum ini dianggap mempunyai kedudukan kewangan lebih selesa, kini turut membawa barang kemas dan emas simpanan untuk digadai bagi mendapatkan tunai.

Situasi tersebut memperlihatkan satu perubahan penting dalam landskap industri pajak gadai apabila kedai yang dahulunya sinonim dengan golongan B40 kini turut dikunjungi individu yang datang dengan kenderaan lebih mahal dan mempunyai pendapatan bulanan yang agak tinggi.

Oleh itu, apakah penyebab utama golongan yang mempunyai pendapatan sederhana memilih untuk mencagar emas bagi mendapatkan tunai? 

Sebagaimana kita tahu, pendapatan yang lebih besar tidak semestinya bermakna mempunyai lebihan tunai apabila ia perlu menampung pelbagai komitmen kewangan termasuk ansuran kenderaan, kad kredit, pinjaman perumahan, sewa rumah, pendidikan anak-anak serta per­belanjaan harian yang semakin meningkat.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, tekanan terhadap aliran tunai itu akhirnya menyebabkan sebahagian M40 memilih emas yang disimpan sebagai aset untuk ditukarkan kepada tunai sementara.

Setiausaha Kehormat bagi Persatuan Pajak Gadai Islam Malaysia (PEGIM), Datuk Abdul Wahab Hamid berkata, melihat perkembangan itu sebagai petunjuk bahawa profil pelanggan pajak gadai telah berubah dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Jika sebelum ini perkhidmatan pajak gadai lebih banyak dikaitkan dengan individu berpendapatan rendah yang memerlukan wang untuk memenuhi keperluan asas atau kecemasan, kini penggunaannya semakin meluas kepada golongan pertengahan yang memerlukan kecairan tunai dalam tempoh singkat,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut beliau, pada masa sama, kenaikan harga emas turut memainkan peranan terhadap peningkatan aktiviti pajak gadai.

“Apabila harga emas meningkat, pemilik barang kemas mempunyai nilai cagaran yang lebih tinggi dan ini memberi peluang kepada mereka mendapatkan jumlah pembiayaan yang lebih besar berbanding ketika harga emas berada pada paras lebih rendah.

“Tidak hairanlah apabila harga emas mencatat kenaikan ketara, ada ketika kedai pajak gadai dilihat lebih sibuk dengan pelanggan yang mahu menggadaikan barang kemas masing-masing.

“Namun, trend itu lazimnya bersifat sementara kerana keputusan pemilik emas banyak bergantung kepada pergerakan harga komoditi berkenaan,” katanya. 

Beliau yang juga Pengerusi Koperasi Dagang Emas Malaysia Bhd. berkata, bagi pelabur emas, kenaikan harga pula memberi pilihan sama ada menjual pegangan untuk merealisasikan keuntungan atau terus menyimpan emas sebagai aset jangka panjang.

“Bagi pemilik barang kemas yang memerlukan tunai, emas menjadi pilihan mudah kerana ia boleh dicagarkan tanpa perlu menjual aset berkenaan sepenuhnya.

“Ini menjadikan emas bukan sahaja barang kemas atau aset pelaburan, malah berfungsi sebagai ‘simpanan kecemasan’ yang boleh dicairkan apabila berlaku keperluan kewangan,” katanya. 

Menurutnya, peningkatan golongan M40 mendapatkan perkhidmatan pajak gadai juga tidak boleh dilihat semata-mata sebagai kesan kenaikan harga emas.

Katanya, ia turut mencerminkan tekanan kewangan yang dihadapi sebahagian isi rumah berpendapatan sederhana.

“Golongan ini mungkin mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding B40, namun dalam masa sama mereka menanggung kos kehidupan yang lebih besar.

“Pemilikan kenderaan, komitmen pinjaman, penggunaan kad kredit, bayaran rumah, pendidikan anak dan keperluan gaya hidup menyebabkan sebahagian pendapatan bulanan mereka telah diperuntukkan lebih awal.

“Apabila berlaku perbelanjaan luar jangka atau kekurangan tunai pada penghujung bulan, aset seperti emas menjadi antara pilihan paling mudah untuk mendapatkan wang dalam tempoh singkat,” katanya.

Tambah beliau, keadaan itu menjadi lebih mencabar apabila harga barangan keperluan, perkhidmatan dan kos perjalanan terus memberi tekanan kepada perbelanjaan isi rumah.

“Justeru, tindakan menggadaikan barang kemas tidak semestinya menunjukkan seseorang itu tidak mempunyai aset atau pendapatan yang mencukupi.

“Sebaliknya, ia boleh menjadi gambaran bahawa individu berkenaan mempunyai aset tetapi berdepan masalah kecairan tunai,” katanya. – UTUSAN

The post M40 paling ramai gadai emas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved