Sime Darby Property Bhd telah menaikkan gaji minimum bagi pekerja dalam kumpulan B40 sebanyak 80 peratus, iaitu daripada RM1,500 kepada RM2,700 sebulan. Langkah ini menunjukkan komitmen syarikat terhadap kesejahteraan pekerja dan pertumbuhan inklusif, terutamanya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup.
Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi Sime Darby Property, Datuk Rizal Rickman Ramli, pelarasan gaji ini adalah sebahagian daripada usaha pembangunan tenaga kerja di bawah pelan transformasi SHIFT25.
Pada tahun 2024, syarikat mencatat peningkatan 43 peratus jumlah jam latihan pekerja serta memperkenalkan program baharu dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), pembangunan lestari dan biodiversiti bandar.
Tambah beliau, langkah-langkah ini diambil bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja agar selaras dengan permintaan industri semasa dan keperluan ESG (tadbir urus, sosial dan alam sekitar).
Gaji minimum baharu sebanyak RM2,700 adalah RM1,000 lebih tinggi daripada paras gaji minimum kebangsaan yang disemak semula kepada RM1,700 bermula Februari 2025 bagi majikan dengan lima atau lebih pekerja. Majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja diberi tempoh hingga Ogos untuk mematuhi kadar tersebut.
Ketidakpatuhan terhadap kadar minimum ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Majlis Rundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan boleh dikenakan penalti. Kadar baharu ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 4.3 juta pekerja di seluruh negara.
The post Komitmen terhadap kesejahteraan pekerja, Sime Darby Property naikkan gaji minimum B40 kepada RM2,700 appeared first on The Reporter.

