Sime Darby Property diyakini boleh capai sasaran jualan RM3.6 bilion pada akhir 2025, kata RHB Research

29/05/2025 - 10:17
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 29 Mei - Sime Darby Property Bhd berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran jualan RM3.6 bilion pada akhir tahun ini selepas mencatatkan jualan hartanah sebanyak RM927.5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25).
RHB Research berkata, walaupun momentum jualan hartanah kekal kukuh berikutan pelancaran strategik yang dirancang, pihak pengurusan juga sedang memacu pertumbuhan segmen hartanah pelaburan.
Katanya, KLGCC Mall dijangka dibuka pada separuh kedua 2025 dan kumpulan akan memastikan penyerahan dua kemudahan pusat data tepat pada masanya.
"Kami mengekalkan unjuran pendapatan FY25-26 kerana kami menjangkakan prestasi pendapatan separuh kedua 2025 akan terus mengukuh.
"Jualan belum dibil Sime Darby Property kini berjumlah RM3.8 bilion (berbanding RM3.7 bilion pada suku keempat 2024), paras tertinggi yang direkodkan sejak 2017," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM118.41 juta pada 1QFY25 berbanding RM123.58 juta setahun yang lalu dengan pendapatan yang lebih rendah.
Hasil kumpulan untuk suku itu juga merosot kepada RM871.62 juta berbanding RM978.69 juta pada 1QFY24.
Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan pembangunan hartanah Sime Darby Property pada suku ini menurun, disebabkan beberapa jualan produk industri yang masih belum memenuhi kriteria pengiktirafan hasil, manakala pendapatan daripada projek perumahan juga merosot berikutan bilangan pelancaran yang lebih rendah pada separuh kedua 2024.
Struktur kos keseluruhan menunjukkan penambahbaikan, apabila perbelanjaan pemasaran dan jualan hanya berjumlah RM27.7 juta (penurunan 39% tahun ke tahun) hasil daripada pendekatan promosi yang lebih menjimatkan kos pada suku ini.
Kos kewangan menurun kepada RM11.8 juta (daripada RM17 juta pada suku keempat 2024) berikutan perkapitalan faedah yang lebih tinggi, selaras dengan peningkatan bilangan aset yang layak.
RHB Research mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.33 sesaham.- DagangNews.com
standard

