Kompleks Islam Wira Damai bernilai RM33 juta capai kemajuan 50 peratus - PNSB

LocalArchitecture
3 Sep 2026 • 9:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kompleks Islam Wira Damai bernilai RM33 juta capai kemajuan 50 peratus - PNSB

SHAH ALAM, 3 SEPT: Pembangunan Kompleks Islam Wira Damai di Gombak yang bakal menjadi pusat kegiatan Islam baharu bagi penduduk DUN Sungai Tua kini mencapai kemajuan 50 peratus dan dijangka siap pada suku kedua 2027.

Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menerusi Facebook memaklumkan kompleks bernilai RM33 juta yang dilengkapi pelbagai kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 10,000 penduduk di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, pembangunan Kompleks Islam Wira Damai telah mencapai 50 peratus kemajuan keseluruhan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2027.

“Kompleks bernilai RM33 juta ini bakal dilengkapi dengan sebuah masjid berkapasiti kira-kira 2,700 jemaah, bilik kuliah, ruang pengurusan jenazah, ruang makan dan dapur, kuarters imam dan bilal, serta kawasan riadah,” katanya.

Dibina di atas tanah seluas 10.73 ekar, kompleks berkonsepkan seni bina Melayu Nusantara itu turut menerapkan elemen hiasan tradisional dan ukiran bermotif flora yang berteraskan budaya serta warisan tempatan.

Kompleks Islam Wira Damai merupakan pusat keagamaan kedua dibangunkan PNSB selepas Masjid Ma'muniah di Sabak Bernam.

Sebelum ini, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyempurnakan majlis pecah tanah kompleks berkenaan yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Amirudin berkata, kompleks itu turut menyediakan kemudahan solat yang lebih selesa kepada penduduk, menggantikan Masjid An-Nur Kampung Wira Damai yang sudah usang dan tidak lagi mampu menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved