
GOMBAK – Kompleks Islam Wira Damai yang kini mencatat kemajuan pembinaan sehingga 50 peratus dijangka bukan sahaja menjadi pusat ibadah dan kemasyarakatan, malah berpotensi menjadi pemangkin aktiviti ekonomi penduduk setempat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan kompleks berkenaan penting dalam menyediakan kemudahan bersepadu kepada masyarakat di kawasan itu, selain membuka ruang kepada pelbagai aktiviti komuniti apabila siap kelak.
Menurut beliau, beberapa komponen utama kompleks berkenaan kini menunjukkan kemajuan lebih pesat, termasuk ruang mihrab dan ruang solat yang telah mencapai kira-kira 70 peratus.
“Secara keseluruhan, kemajuan fizikal pembinaan kompleks ini telah mencapai 50 peratus daripada jadual yang ditetapkan.
“Malah, terdapat beberapa bahagian utama seperti ruang mihrab dan ruang solat yang menunjukkan perkembangan pesat dengan mencatatkan kemajuan sehingga 70 peratus, sekali gus mendahului jadual asal,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Mesra Rakyat Parlimen Gombak di Dewan Mutiara Bestari, Sungai Pusu, di sini baru-baru ini.
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak, berkata, Kompleks Islam Wira Damai disasarkan siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun depan untuk dimanfaatkan orang ramai.
Katanya, kewujudan kemudahan bersepadu seperti itu berpotensi merancakkan aktiviti setempat menerusi penganjuran program keagamaan, pendidikan, kemasyarakatan dan pelbagai aktiviti yang boleh menarik kehadiran penduduk.
“Apabila siap nanti, kita mahu kompleks ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat, bukan sekadar sebagai tempat ibadah tetapi sebagai pusat aktiviti komuniti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak RM200,000 sumbangan kemasyarakatan turut disalurkan secara terus kepada penduduk Gombak menerusi bantuan kewangan, pendidikan, sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai inisiatif kebajikan.
Amirudin berkata, program berkenaan akan diteruskan dan diperluaskan ke seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gombak sebelum diperluaskan ke daerah lain di Selangor dalam tempoh setahun menerusi siri Jelajah Madani.
Usaha berkenaan dilihat mampu mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan masyarakat selain memberi peluang kepada komuniti setempat mendapatkan maklumat, bantuan serta kemudahan yang disediakan kerajaan.-KOSMO! ONLINE
The post Kompleks Islam Wira Damai pemangkin ekonomi rakyat Gombak appeared first on Kosmo Digital.






