PASIR MAS – Kompleks Masjid Tahfiz Al-Ayubi di Kota Siti Mariam, Pulau Buih di sini, dijangka menjadi mercu tanda baharu pendidikan Islam apabila siap sepenuhnya kelak.
Pengerusi Tahfiz Al-Ayubi, Zulta Ayub Daud berkata, pembinaan kompleks itu bukan sahaja bertujuan menyediakan ruang ibadah lebih selesa, malah berperanan sebagai pusat pengajian al-Quran serta aktiviti keagamaan masyarakat setempat.
Menurutnya, projek mula dirancang sejak 6 Jun 2006 akhirnya memasuki fasa pembinaan fizikal pada 3 Mac 2023 dan kini mencapai kira-kira 50 peratus kemajuan.
“Kompleks ini merupakan masjid tahfiz pertama dibangunkan di Pulau Buih dan mampu menampung kira-kira 600 jemaah pada satu masa.
“Selain menjadi tempat ibadah, ia juga akan menempatkan program pengajian tahfiz serta pelbagai aktiviti keagamaan melibatkan masyarakat sekitar,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, kompleks yang dibina di kawasan seluas kira-kira 3,883 meter persegi merangkumi bangunan utama serta kemudahan sokongan.
Katanya, antara kemudahan dirancang termasuk kuarters guru dan pelajar, dewan makan, dewan terbuka serta kemudahan asas seperti parkir, padang, dataran dan tempat wuduk.
“Selain itu, kompleks ini turut dilengkapi sistem pendawaian elektrik serta sistem pembesar suara lengkap bagi menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan dan program komuniti,” katanya.
Tambah beliau, pembinaan kompleks tersebut dianggarkan menelan kos keseluruhan RM13.7 juta dan setakat ini, pihak pengurusan menerima sumbangan infak berjumlah RM2.55 juta daripada orang ramai.
“Pembangunan ini diharap dapat memperkasakan pendidikan agama dalam kalangan generasi muda selain mengimarah fungsi masjid sebagai pusat penyatuan masyarakat,” katanya.
Bagi yang ingin menyumbang, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Masjid Tahfiz Al-Ayubi 0312 00100 14936 atau menghubungi Zulta di talian 012-951 9426 untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut.



