Kompleks Teruntum jadi mesin masa

30 May 2026 • 9:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kompleks Teruntum jadi mesin masa
Mohd Asri menunjukkan koleksi yang dimilikinya.
Image from: Kompleks Teruntum jadi mesin masa
Laluan masuk ke Lorong Susur Masa menempatkan pelbagai kedai barangan lama dan klasik.
Image from: Kompleks Teruntum jadi mesin masa
Faizal Izwa
Image from: Kompleks Teruntum jadi mesin masa
Pak Ya bersama basikal dan koleksi kesayangannya.
Image from: Kompleks Teruntum jadi mesin masa
Mohd Sya Razad turut mengumpul pinggan mangkuk dan duit syiling lama.

KUANTAN - Siapa sangka minat mendalam terhadap dunia mainan sejak di bangku sekolah rendah mampu menjadi jambatan yang menghubungkan semula memori silam masyarakat di daerah ini.

Bagi Mohd Asri Zakaria, 46, kedai mainan lama yang ditempatkan di Lorong Susur Masa, Kompleks Teruntum di sini bukan sekadar premis perniagaan, sebaliknya menjadi ruang untuk menghidupkan kembali kenangan zaman kanak-kanak.

Menurutnya, minat mengumpul barangan tersebut bermula sejak darjah enam apabila beliau sering mengikuti arwah bapanya ke pasar karat untuk mencari barangan lama.

“Masa itu saya mula ambil dan kumpul sikit-sikit barang lama seperti mainan dan koleksi zaman kecil yang saya pernah lihat dulu, daripada Power Rangers, Transformers sampai ke Star Wars.

“Apa yang bermula sebagai hobi suka-suka kini menjadi cara untuk saya menghidupkan semula memori yang hampir dilupakan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Lorong Susur Masa, Kompleks Teruntum di sini.

**media[3535454]**

Mohd Asri merupakan antara pengumpul barangan klasik yang terlibat dalam inisiatif Lorong Susur Masa di tingkat satu di Kompleks Teruntum.

Lorong yang diwujudkan pada 2023 itu digerakkan sekumpulan peminat koleksi lama bagi menghidupkan semula nilai nostalgia melalui pelbagai barangan dan artifak era terdahulu di lokasi ikonik berkenaan

Dia memberitahu, minat terhadap barangan berkenaan semakin berkembang sehingga menjadi koleksi peribadi yang kini turut dipamerkan kepada pengunjung.

Ujarnya, kehadiran orang ramai ke premisnya juga sering membangkitkan kembali kenangan sebaik sahaja melihat semula barangan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

“Bila pengunjung datang dan nampak mainan seperti Transformers atau Star Wars, mereka secara spontan mula berkongsi kisah zaman kecil dan pengalaman bersama keluarga.

“Ada yang datang sekadar melihat atau bergambar, tetapi paling penting mereka dapat mengimbau semula memori dulu-dulu. Itu sudah cukup menggembirakan saya kerana dapat berkongsi rasa,” luahnya dengan nada gembira.

Mengulas koleksinya, Mohd Asri berkata setakat ini pelbagai siri popular era 70-an hingga 90-an telah dihimpunkan termasuk Mighty Morphin Power Rangers, Transformers dan Star Wars, dengan setiap siri merangkumi antara 30 hingga 50 unit.

“Dulu saya beli ikut kemampuan sahaja, tetapi sekarang apabila sudah mampu, saya cuba mencari barangan yang sukar diperoleh.

“Tetapi, saya tetap mengutamakan keseronokan hobi tanpa membebankan diri,” katanya sambil menegaskan misi utamanya adalah memelihara nostalgia.

**media[3535455]**

Senada dengannya, Faizal Izwa Nawi, 45, berkata, idea mewujudkan Lorong Susur Masa dicetuskan oleh Kamal Azura Jamal, 50, atau lebih dikenali sebagai Pak Ya, bagi mengembalikan semula kegemilangan Kompleks Teruntum yang pernah menjadi mercu tanda utama komuniti Kuantan suatu ketika dahulu.

Menurutnya, kebanyakan peniaga yang berniaga di sini adalah generasi yang membesar dengan memori di kompleks ini.

“Kalau dulu, Kompleks Teruntum inilah tempat beli baju sekolah, baju sukan, tempat tengok wayang dan lokasi melepak utama masa cuti sekolah.

“Jadi, kami berpakat membuka kedai di sini untuk menghidupkan kembali suasana itu. Barangan yang kami jual termasuk pakaian, jam tangan klasik, basikal, majalah, kaset serta mainan yang mengundang rindu terhadap masa lalu,” ceritanya lagi.

Difahamkan, Kompleks Teruntum yang beroperasi sejak 1980 kini berusia 46 tahun kekal menjadi lokasi ikonik yang menyimpan pelbagai kenangan masyarakat setempat.

**media[3535456]**

Dalam pada itu, Pak Ya berkata, nilai sebenar barangan di lorong tersebut bukan terletak pada harganya, sebaliknya pada emosi yang tercetus kepada pengunjung.

“Ada yang tersenyum, malah ada juga yang sebak apabila melihat barangan yang mengingatkan mereka kepada keluarga. Itu yang menjadikan tempat ini terus hidup,” ujarnya.

**media[3535462]**

Perkara sama turut dikongsi Mohd Sya Razad Zamri, 45, yang mempamerkan koleksi barangan antik dan jam tangan vintaj di premisnya.

Menurutnya, barangan tersebut sering menjadi pencetus perbualan mengenai kenangan keluarga yang tidak ternilai harganya.

“Bila mereka nampak jam ini, ramai yang berkata ia sama seperti yang pernah dipakai oleh bapa mereka dahulu.

“Kenangan sebegitu menjadikan barangan lama terus mempunyai tempat istimewa dalam hati masyarakat,” katanya.

 

View Original Article