Kebelakangan ini, golongan profesional yang bekerja dalam industri IT dan kreatif profesional ialah untuk menggunakan komputer desktop ataupun komputer riba bersaiz padat yang masih merumahkan komponen-komponen yang sangat berkuasa.

HP Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan dua buah komputer kelas workstation padat dan berkuasa, iaitu HPZ2 Mini G1a dan HP ZBook Ultra G1a yang dikuasakan oleh siri cip pemprosesan AMD Ryzen AI Max Pro.

Komputer-komputer ini menggunakan teknologi Unified Memory Architecture yang membolehkan CPU ini dan juga perisian-perisian produktiviti profesional anda memanfaatkan jumlah memori yang besar untuk mempercepatkan proses seperti olahan objek 3D, video dan animasi, pengiraan saintifik, pemprosesan data berskala besar dan sebagainya.
Bermula dengan HP ZBook Ultra G1a, komputer riba ini tampil dengan pilihan paparan skrin IPS ataupun OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi 1920×1200 ataupun 2880×1800 dengan kadar segar semula setinggi 120Hz dengan nilai kecerahan setinggi 400 nit yang cukup terang untuk pelbagai jenis tugasan produktiviti kreatif, tidak kira anda sedang menyunting video ataupun merekacipta objek 3D beresolusi tinggi.

Komputer riba ini dikuasakan oleh siri cip pemprosesan AMD Ryzen AI Max+ Pro dengan cip pemprosesan grafik AMD Radeon 8060S terbina dan digabungkan bersama-sama 128GB memori LPDDR5X dan pilihan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 512GB sehingga 4TB.
Penawaran memori yang besar ini cukup penting kerana dengan teknologi Unified Memory Architecture yang diperlihatkan oleh AMD, pengguna boleh mengagihkan sehingga 96GB memori tersebut khusus kepada komponen GPU untuk tujuan pemprosesan grafik yang akan mempercepatkan proses seperti olahan objek dan video dan juga produktiviti-produktiviti lain.

Dari segi penawaran palam pula, komputer riba ini hadir dengan dua palam Thunderbolt 4, satu palam USB 3.2 Type-C, satu palam USB 3.2 Type-A dan satu palam audio 3.5mm. Dari segi sokongan sambungan teknologi nirwayar, HP ZBook Ultra G1a menyokong sambungan WiFi7 dan Bluetooth 5.4 yang terbaru dan terpantas.
Menyejukkan komponen berkuasa ini ialah teknologi HP Vaporforce yang menggabungkan rekaan dua kipas penyejuk dengan bilah yang direka khusus untuk mengalirkan haba secara cepat dari komponen dan juga rangka komputer riba yang kini mempunyai lebih banyak ruang pengudaraan dari tiga sisi komputer riba ini untuk memastikan bahagian papan kekunci kekal sejuk walaupun sewaktu melakukan tugasan-tugasan berat.

HP Z2 Mini G1a pula ialah komputer desktop padat yang hadir dengan saiz rangka sebesar 3 liter sahaja, dan boleh dimanfaatkan sebagai komputer pejabat untuk tujuan produktiviti kreatif dan saintifik, atau digunakan sebagai modul mesin pelayan bergantung kepada konfigurasi yang dipilih.

HP mengatakan bahawa komputer ini mempunyai 28 konfigurasi berbeza tetapi rata-ratanya semua dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen AI Max Pro yang berbeza dengan pilihan memori dari 32GB ke 128GB LPDDR5X dengan storan SSD PCIe 4.0 sehingga 4TB.
HP Malaysia mengatakan bahawa komputer riba HP ZBook Ultra G1a dan komputer HP Z2 Mini G1a akan mula ditawarkan di pasaran Malaysia melalui laman web mereka bermula hari ini, 19 Jun 2025. HP ZBook Ultra G1a akan dijual pada harga RM7799, manakala komputer HP Z2 Mini G1a akan dijual pada harga permulaan RM5999
