Komunikasi baharu eko­pelancongan

13 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Komunikasi baharu eko­pelancongan

PERANCANGAN percutian hari ini banyak dipengaruhi maklumat digital. Kajian menunjukkan hampir 69 peratus rakyat Malaysia membuat keputusan awal berdasarkan carian dalam talian, termasuk video pendek, ulasan pengguna, imej dan kandungan media sosial.

Sebelum memilih sesuatu destinasi, pelancong mahu membayangkan pengalaman yang bakal dinikmati.

Perubahan ini menuntut penggiat industri pelancongan mengubah pendekatan komunikasi.

Media sosial perlu dimanfaatkan untuk membina pengalaman awal yang mampu menarik minat bakal pelawat.

Mereka bukan sekadar ingin mengetahui lokasi sesuatu destinasi, malah mahu memahami tarikan, aktiviti, kemudahan, aspek keselamatan serta keunikan yang membezakan kawasan itu daripada pilihan lain.

Malangnya, masih terdapat organisasi yang memenuhi media sosial dengan laporan mesyuarat, lawatan rasmi dan gambar protokol. Kandungan seperti ini penting sebagai rekod pentadbiran, namun kurang memberi nilai kepada pelancong.

Dalam persekitaran digital yang pantas, pengguna lebih tertarik kepada kandungan yang autentik, ringkas dan memberi manfaat kepada perancangan perjalanan mereka.

Tahun Melawat Malaysia 2026 menjadi bukti komunikasi digital perlu menjadi keutamaan dalam mempromosikan ekopelancongan negara. Sasaran menarik 35.6 juta pelancong serta menjana RM147.1 bilion hasil pelancongan memerlukan strategi komunikasi yang lebih kreatif, responsif dan berorientasikan pengguna.

Video pendek, penceritaan visual dan pengalaman sebenar pelawat mampu membangkitkan emosi serta meningkatkan keyakinan untuk berkunjung.

Pada masa sama, promosi tidak boleh mengabaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar. Setiap mesej perlu disertakan panduan keselamatan, etika menjaga kebersihan dan kesedaran terhadap kepentingan memulihara biodiversiti.
Pendekatan ini bukan sahaja menarik lebih ramai pelawat, malah membentuk tingkah laku yang lebih bertanggungjawab.

Komunikasi yang berkesan juga memerlukan interaksi dua hala. Maklum balas pengguna, perkongsian pengalaman serta penglibatan komuniti setempat mampu meningkatkan kredibiliti sesuatu destinasi. Pemandu pelancong, pengusaha inap desa, sukarelawan dan penduduk setempat mempunyai cerita yang lebih dekat dengan realiti, sekali gus menjadikan promosi lebih meyakinkan.

Dalam era digital, kejayaan sesebuah destinasi bukan sahaja bergantung pada keindahan alamnya tetapi juga keupayaan menyampaikan cerita yang mampu menghidupkan imaginasi dan menggerakkan keinginan untuk berkunjung.-UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH & PROFESOR. MADYA DR. SITI SARA IBRAHIM
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

The post Komunikasi baharu eko­pelancongan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved