CUTI sekolah merupakan waktu yang paling dinanti-nantikan oleh anak-anak. Bagi ibu bapa, inilah masa terbaik untuk merancang percutian dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Namun, memilih destinasi percutian memerlukan perancangan yang teliti. Ibu bapa perlu mengambil kira umur dan minat anak-anak agar percutian itu dapat dinikmati oleh setiap ahli keluarga.
Anak-anak yang masih kecil mungkin lebih tertarik kepada destinasi seperti taman tema air, zoo atau pusat hidupan liar.
Bagi yang sudah menginjak usia remaja, mereka mungkin lebih berminat aktiviti mencabar serta lokasi menarik untuk bergambar.
Oleh itu, destinasi yang menawarkan pelbagai tarikan boleh menjadi pilihan terbaik bagi keluarga yang mempunyai anak-anak daripada peringkat usia berbeza.
Pelbagai tarikan
Bagi percutian dalam negara, ibu bapa boleh memilih Langkawi, Kedah sebagai destinasi pilihan.
Kepelbagaian aktiviti di pulau itu membolehkan ibu bapa menyusun jadual perjalanan mengikut umur dan minat anak-anak.
Bagi kanak-kanak yang menyukai haiwan, ibu bapa boleh membawa mereka mengunjungi Langkawi Wildlife Park yang menempatkan lebih 60 spesies hidupan liar.
Jika mahu menikmati aktiviti air, keluarga boleh berkunjung ke Splash Out Langkawi yang terletak di bandar Kuah, kira-kira lapan minit perjalanan dari Jeti Langkawi.
Bagi anak-anak yang sudah menginjak usia remaja pula, kunjungan ke Langkawi Sky Bridge pasti membuatkan mereka teruja.
Jambatan gantung melengkung sepanjang 125 meter itu menawarkan pemandangan indah Banjaran Machinchang, Laut Andaman dan pulau sekitarnya.
Selain Langkawi, ibu bapa juga boleh mempertimbangkan Johor di selatan tanah air sebagai destinasi percutian keluarga. Antara tarikan yang boleh dikunjungi ialah Legoland Malaysia yang menawarkan suasana ceria berkonsep permainan LEGO.
Dengan pelbagai permainan, pertunjukan dan tarikan interaktif, destinasi itu mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada seisi keluarga, khususnya mereka yang mempunyai anak kecil.
Sekiranya ingin membawa anak-anak bercuti ke luar negara, Universal Studios Singapore boleh menjadi pilihan kerana lokasinya yang lebih dekat dengan Malaysia.
Bagi yang inginkan perjalanan lebih jauh, Universal Studios Japan di Osaka turut menawarkan pelbagai tarikan menarik untuk seisi keluarga.
Hong Kong Disneyland dan Shanghai Disneyland juga sesuai dipertimbangkan, khususnya bagi anak-anak yang meminati watak animasi dan dunia fantasi.
Terokai keindahan alam
Bagaimanapun, bukan semua keluarga menggemari percutian di taman tema.
Ada juga yang lebih suka meneroka alam semula jadi dan mereka boleh mempertimbangkan Negeri di Bawah Bayu.
Di Kundasang, keluarga boleh menikmati udara nyaman sambil menyaksikan keindahan Gunung Kinabalu yang menjadi antara tarikan utama di negeri itu.
Selain kawasan tanah tinggi, pengunjung juga boleh membawa anak-anak menikmati pantai dan pulau-pulau di sekitar Sabah, antaranya Pulau Manukan dan pulau-pulau di Tunku Abdul Rahman Marine Park yang menawarkan pemandangan laut serta pelbagai aktiviti rekreasi.
Australia juga boleh dipertimbangkan sebagai destinasi percutian keluarga.
Di Perth, keluarga boleh mengunjungi Rottnest Island untuk menikmati suasana pantai, berbasikal dan melihat quokka dengan lebih dekat.
Swan Valley pula sesuai untuk aktiviti santai bersama keluarga, manakala Pinnacles Desert menawarkan pengalaman melihat formasi batu kapur yang unik.
Sebelum memulakan perjalanan, ibu bapa perlu memastikan beberapa perkara supaya percutian dapat berjalan dengan lancar.
Antaranya, pastikan pasport masih sah dan semak sama ada negara yang ingin dilawati memerlukan visa.
Selain itu, semak kemudahan pengangkutan dan pilih lokasi penginapan yang sesuai serta mudah diakses dari tempat-tempat yang ingin dikunjungi.
Bagi yang membawa anak kecil, pilih waktu penerbangan yang sesuai dengan rutin tidur mereka.
Sediakan pakaian tambahan, ubat-ubatan, makanan ringan, barangan kebersihan dan bahan hiburan bagi memastikan anak-anak lebih selesa sepanjang perjalanan.
Keselesaan ketika berada di dalam pesawat juga memainkan peranan penting, terutama apabila perjalanan melibatkan anak-anak.
Batik Air menawarkan ruang tempat duduk yang selesa serta pilihan makanan yang dapat memenuhi cita rasa penumpang.
Ia menepati cita rasa tempatan termasuk sajian seperti nasi lemak, nasi biryani, mihun dan pasta, tertakluk pada laluan serta ketersediaan.
Bagi keluarga yang mahukan pengalaman perjalanan lebih premium, kelas perniagaan boleh menjadi pilihan kerana menawarkan ruang yang lebih selesa untuk berehat sepanjang penerbangan.
Perancangan yang baik, pemilihan destinasi yang tepat dan perjalanan selesa dapat menjadikan cuti sekolah lebih bermakna untuk seisi keluarga.
Untuk maklumat lanjut mengenai destinasi, jadual penerbangan dan tempahan, layari [www.batikair.com.my] atau muat turun aplikasi Batik Air. – UTUSAN
The post Cuti sekolah lebih bermakna bersama Batik Air appeared first on Utusan Malaysia.






