Komuniti aktif bantu Desa Melor kekal sifar jenayah

26 Aug 2026 • 12:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Komuniti aktif bantu Desa Melor kekal sifar jenayah
Wakil Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Shah Ikram Idris (tiga dari kanan) menyampaikan penghargaan bagi anugerah 'Jasa Bakti Masyarakat' kepada Mohd Kamal (dua dari kiri) sambil diperhatikan Mohamad Fakhrudin (tiga dari kiri) pada program berkenaan.

HULU SELANGOR - Penglibatan aktif penduduk dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) menjadi antara faktor kejayaan KRT Desa Melor, Serendah mengekalkan indeks jenayah pada kadar sifar.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor, Senior Asisten Komisioner (SAC), Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pencapaian itu membuktikan keselamatan komuniti bukan hanya bergantung kepada pihak berkuasa, sebaliknya memerlukan kerjasama aktif masyarakat.

Menurutnya, komitmen tinggi penduduk Desa Melor khususnya anggota SRS terlibat dalam rondaan dan aktiviti keselamatan komuniti, wajar dijadikan contoh kepada kawasan lain.

"Keselamatan dan kesejahteraan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, sebaliknya perlu dipikul secara bersama oleh masyarakat melalui kerjasama, kesedaran dan penglibatan aktif semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Komuniti Selamat (OSCAR) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kempen '1 Keluarga, 1 Anggota SRS: Misi Anggota SRS Teramai Daerah Hulu Selangor' di Pos KRT Desa Melor, Serendah di sini.

Pada program itu, KRT Desa Melor menerima Sijil Pengiktirafan Anggota SRS Teramai di daerah Hulu Selangor dan Anugerah KRT Terbaik Promosi SRS Tahun 2026.

Sementara itu, Setiausaha KRT Desa Melor, Mohd Kamal Hashim berkata, pihaknya berjaya mengumpulkan 200 anggota SRS dalam tempoh dua bulan sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 100 anggota.

Katanya, pencapaian itu hasil usaha berterusan jawatankuasa KRT baharu bagi sesi tahun ini hingga 2028 bersama penduduk setempat.

"Sasaran awal 100 anggota, kita berjaya mencapai 200 anggota SRS yang sudah didaftarkan di KRT Desa Melor.

"Kita tidak mahu hanya mengejar anugerah, tetapi mahu membina sebuah komuniti yang benar-benar hidup, bersatu, selamat, prihatin dan saling membantu," jelasnya.

Menurutnya, penglibatan pesara polis dan tentera dalam SRS turut menjadi kekuatan kepada gerakan keselamatan komuniti berikutan pengalaman, disiplin serta kepakaran yang dimiliki masing-masing.

.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved