Komuniti Dunia Perlu Desak Penghapusan Penduduk Gaza Dihentikan - Anwar

Politics
11 Apr 2024 • 3:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
gambar FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Komuniti antarabangsa perlu segera mendesak supaya pembantaian dan penghapusan rakyat Palestin di Gaza dihentikan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dinyatakan oleh beliau kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dalam perbincangan menerusi telefon mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi semasa di Palestin, malam tadi.

"Saya nyatakan bahawa komuniti antarabangsa perlu segera mendesak pembantaian dan penghapusan rakyat Gaza dihentikan.

"Malaysia akan terus komited menyuarakan pendirian tegas negara mengenai nasib rakyat Palestin di pentas dunia," katanya dalam hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata, Presiden Turkiye itu juga menzahirkan harapan untuk memperhebat hubungan kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pertahanan.

Panggilan telefon itu juga dimanfaatkan oleh Anwar untuk sekali lagi mengundang Erdogan ke Malaysia.

Menurut Anwar, kedua-dua mereka turut berbalas ucapan Hari Raya Aidilfitri selain mendoakan masing-masing terus diberikan kesihatan yang baik untuk memimpin negara. - BERNAMA