Komuniti dunia perlu desak penghapusan penduduk Gaza dihentikan - PM

Politics
11 Apr 2024 • 3:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penduduk Palestin berjalan melepasi bangunan yang rosak di Khan Yunis pada Isnin. Foto AFP

KUALA LUMPUR - Komuniti antarabangsa perlu segera mendesak agar pembantaian dan penghapusan rakyat Palestin di Gaza dihentikan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dinyatakan oleh beliau kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dalam perbincangan menerusi telefon tentang pelbagai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi semasa di Palestin, malam tadi.

"Saya nyatakan bahawa komuniti antarabangsa perlu segera mendesak pembantaian dan penghapusan rakyat Gaza dihentikan.

"Malaysia akan terus komited menyuarakan pendirian tegas negara mengenai nasib rakyat Palestin di pentas dunia," katanya dalam hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata, Presiden Turkiye itu juga menzahirkan harapan untuk memperhebat hubungan kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pertahanan.

Panggilan telefon itu juga dimanfaatkan oleh Anwar untuk sekali lagi mengundang Erdogan ke Malaysia.

Menurut Anwar, kedua-dua mereka turut berbalas ucapan Hari Raya Aidilfitri selain mendoakan masing-masing terus diberikan kesihatan yang baik untuk memimpin negara. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28