Kondominium jadi stor, dadah RM13 juta dirampas

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 3:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kondominium jadi stor, dadah RM13 juta dirampas
Hussein menunjukkan bunga ganja yang dirampas.

KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket dadah yang menjadikan kondominium sebagai stor penyimpanan dan pusat pembungkusan terbongkar selepas tujuh individu ditahan menerusi Op Conops, dengan rampasan melebihi RM13 juta hasil beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang pada 12 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 28 hingga 43 tahun.

"Pelbagai dadah termasuk bunga ganja seberat 170.74 kilogram (kg) dan ganja seberat 7.04kg dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM13.68 juta.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu dengan menjadikan unit kondominium di Lembah Klang sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan serta antarabangsa,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada Khamis.

Hussein berkata, kegiatan pengedaran dalam negara dijalankan menggunakan perkhidmatan e-hailing dan kurier, manakala bagi pasaran luar negara pula, sindiket menggunakan taktik keldai dadah dengan menyembunyikan bahan terlarang dalam bagasi.

"Jasil ujian saringan awal mendapati lima daripada suspek positif dadah," katanya.

Menurutnya, polis turut menyita pelbagai aset termasuk sebuah kereta, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM385,000, menjadikan keseluruhan rampasan serta sitaan sebanyak RM14.07 juta.

“Daripada keseluruhan tangkapan, lima suspek telah direman selama tujuh hari bermula 13 April hingga 19 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.