SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik perkembangan baharu dalam konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran khususnya berhubung pelan 10 perkara yang diterima secara positif oleh Washington.
Menurut Anwar, cadangan tersebut dilihat sebagai langkah penting ke arah memulihkan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di Asia Barat, malah seluruh dunia.
"Adalah diharapkan agar proses rundingan akan dijalankan dengan penuh keikhlasan, disertai tekad yang kukuh untuk mencari penyelesaian berkekalan terhadap isu-isu yang sedang dihadapi di rantau ini.
"Rundingan damai tidak akan berjaya sekiranya prosesnya diselubungi penipuan dan kepentinga tersembunyi," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu.
Beliau menegaskan bahawa pelan sepuluh perkara yang dicadangkan Iran itu perlu diterjemahkan kepada perjanjian damai yang menyeluruh melibatkan negara lain yang terkesan termasuk Iraq, Lubnan dan Yemen.
Pada masa sama, Anwar turut menegaskan keperluan mendesak untuk menamatkan genosid serta penindasan terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Pakistan dan Perdana Menterinya, Shehbaz Sharif atas usaha diplomasi yang tidak mengenal penat lelah serta penuh keberanian dalam menjayakan perkembangan tersebut.
"Kesediaan Pakistan untuk berunding dengan semua pihak tanpa rasa takut atau memihak mencerminkan tradisi tertinggi solidariti umat Islam serta tanggungjawab antarabangsa.
"Malaysia bersedia untuk menyokong dan melengkapi segala usaha ke arah mencapai keamanan tersebut," ujarnya.
Beliau menyeru komuniti antarabangsa dapat memastikan akses bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan kepada penduduk awam yang terkesan akibat konflik berkenaan.
"Biarlah ini menjadi titik perubahan ke arah keamanan berkekalan. Dunia tidak mampu berdepan kegagalan dalam usaha itu," katanya.
Terdahulu, Trump mendakwa telah bersetuju untuk menggantung serangan ketenteraan terhadap Iran selama tempoh dua minggu, tertakluk kepada pembukaan penuh dan selamat Selat Hormuz oleh negara Republik Islam itu.
Perkara tersebut diumumkan Trump menerusi satu hantaran di media sosial pada Rabu, susulan perbualannya dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, serta Ketua Angkatan Tentera Pakistan, Field Marshal Asim Munir.
Dalam kenyataan sama, Trump turut mendakwa, rundingan ke arah perjanjian keamanan jangka panjang antara Washington dan Teheran kini berada pada peringkat akhir.
Beliau berkata, Iran telah mengemukakan cadangan 10 perkara yang dianggap mempunyai asas kukuh untuk dimuktamadkan, selain mendakwa sebahagian besar isu pertikaian lampau antara kedua‑dua negara telah dipersetujui.

