SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menjangkakan kos perubatan sektor perkhidmatan kesihatan dijangka meningkat seiring ketidaktentuan global dengan unjuran kenaikan antara 15 hingga 25 peratus.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dapatan itu diperoleh hasil maklum balas sebuah bank antarabangsa yang menilai kesan rantaian bekalan global terhadap harga barangan dan perkhidmatan.
Menurutnya, sektor perubatan antara yang paling terkesan memandangkan kebergantungan tinggi kepada sumber import bagi bekalan ubat-ubatan.
"Dianggarkan hampir 70 hingga 80 peratus ubat-ubatan negara diperoleh dari luar, jika krisis di laluan perdagangan utama berterusan, ia akan memberi kesan langsung kepada peningkatan kos rawatan,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) berhubung kenaikan kos perubatan serta langkah kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan.
Terdahulu, Mei Sze semasa sesi pertanyaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkata, Malaysia berada dalam kedudukan strategik sebagai destinasi perubatan halal sekali gus berpotensi menarik pesakit antarabangsa termasuk dari Asia Barat yang mencari alternatif rawatan.
"Adakah Selangor bersedia untuk mengambil peluang ini dan memposisikan diri sebagai hab perubatan alternatif kepada negara luar?” soalnya.
Mengulas perkara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan meneliti perkembangan semasa secara menyeluruh sebelum merangka langkah bersesuaian bagi setiap sektor yang terlibat.
Katanya, impak sebenar krisis global itu dijangka hanya akan dirasai sepenuhnya sekitar September hingga Oktober depan.
"Kita jangka kesannya lebih ketara dalam beberapa bulan akan datang, justeru perbincangan dengan pemain industri perlu dilakukan bagi memahami cabaran sebenar setiap sektor,” katanya.
Amirudin turut mengakui, potensi Malaysia sebagai hab perubatan halal, namun menegaskan ia memerlukan penelitian rapi termasuk dari aspek kapasiti sistem kesihatan dan keupayaan menampung permintaan luar.
Dalam pada itu, Amirudin bekata, sektor logistik dan perkhidmatan paling terkesan akibat konflik di Timur Tengah ketika ini.
Jelas beliau, dua sektor itu menyumbang kepada 60 peratus kepada sektor ekonomi di negeri ini.
"Kerajaan negeri akan memperkenalkan beberapa langkah bagi membantu dua sektor ini dalam pembentangan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) akan datang.
"Sektor perkhidmatan seperti perniagaan penghantaran barang, kosnya meningkat disebabkan kenaikan harga diesel dan petrol.
"Sektor semikonduktor juga terkesan kerana harga gas meningkat. Sektor ini menggunakan gas helium dalam jumlah yang banyak," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kos pelaksanaan projek pembangunan negeri dijangka meningkat antara 15 hingga 25 peratus selari dengan kenaikan harga bahan mentah dan perkhidmatan.
Katanya, unjuran itu dibuat berdasarkan analisis Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) susulan sesi libat urus bersama pelbagai pihak industri.
"Kerajaan negeri bersedia menghadapi peningkatan kos ini dan akan memastikan setiap projek dirancang dengan teliti agar tidak membebankan rakyat," tambah beliau.





