SHAH ALAM – Kerajaan Selangor meningkatkan stok simpanan makanan asas sebagai langkah proaktif menghadapi ketidaktentuan global, di sebalik kebimbangan peningkatan kos operasi yang ditanggung petani dan nelayan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, langkah itu penting bagi memastikan bekalan makanan negeri kekal stabil serta mencukupi untuk keperluan rakyat.
Menurutnya, peningkatan stok simpanan itu melibatkan bahan makanan asas seperti beras selain sumber protein termasuk ayam, ikan dan daging.
"Usaha ini bagi memastikan kita mempunyai rizab mencukupi untuk menampung sebarang gangguan bekalan sekali gus membantu menstabilkan harga di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang membangkitkan isu keterjaminan bekalan makanan serta beban yang ditanggung golongan pesawah, petani dan nelayan susulan kenaikan harga diesel dan petrol.
Dalam pertanyaannya, Mohamed Azmin menegaskan kumpulan sasar itu antara paling terkesan dengan peningkatan kos sekali gus boleh menjejaskan usaha memastikan sekuriti makanan negeri kekal terjamin.
Mengulas lanjut, Izham berkata pelaksanaan inisiatif peningkatan stok itu akan digerakkan melalui kerjasama agensi berkaitan termasuk Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) serta jabatan negeri.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri turut memperkukuh rantaian bekalan makanan melalui penambahbaikan sistem pengumpulan dan pengedaran hasil pertanian bagi mengurangkan pembaziran.
"Kita mahu pastikan hasil pertanian dapat diagihkan dengan lebih cepat ke pasaran supaya tidak berlaku kerosakan sekali gus memberi pulangan lebih baik kepada petani," jelas beliau.
Izham berkata kerajaan negeri juga akan terus menyokong golongan petani, nelayan dan penternak agar mereka dapat meningkatkan pengeluaran bagi menampung keperluan stok simpanan tersebut.
Menurutnya, langkah bersepadu itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang negeri dalam memperkukuh sekuriti makanan serta mengurangkan kesan krisis global terhadap rakyat.
"Perancangan ini dibuat secara rapi supaya kita bersedia menghadapi apa jua kemungkinan pada masa akan datang," katanya.






