
GAZA: Usaha baharu menamatkan perang di Gaza memasuki fasa kritikal apabila Israel dan Hamas berdepan tuntutan yang bercanggah, dengan pelaksanaan perjanjian kini bergantung kepada kesediaan kedua-dua pihak untuk berkompromi.
Israel menjadikan pelucutan senjata Hamas sebagai syarat utama sebelum sebarang pengunduran penuh tenteranya dari Gaza. Sebaliknya, Hamas menegaskan penyerahan senjata hanya boleh dipertimbangkan selepas Israel menghentikan operasi ketenteraan dan berundur dari wilayah berkenaan.
Pertembungan pendirian itu menjadi cabaran terbesar kepada fasa seterusnya pelan gencatan senjata yang dirangka dengan pengantaraan Amerika Syarikat (AS), kerana kedua-dua pihak masih melihat isu keselamatan dan kawalan wilayah dari sudut berbeza.
Nasib perjanjian kini bergantung kepada kesediaan Israel dan Hamas mengambil langkah pertama untuk berkompromi, atau perbezaan tuntutan itu akan terus menjadi penghalang kepada pelaksanaan perjanjian yang diterajui Presiden Donald Trump.
Ketika mesyuarat Kabinet di Camp David kelmarin, Trump mendakwa mempunyai ‘persefahaman’ dengan Israel berhubung cadangan terbaharu pelucutan senjata yang dipersetujui bersama Hamas, sambil mendakwa Israel sangat berpuas hati terhadap perkara itu.
Namun, cadangan tersebut berdepan tentangan daripada dalam kerajaan Israel apabila Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, menolaknya sebagai tidak boleh diterima.
Ketika ditanya sama ada Hamas akan melucutkan senjata sebelum pengunduran tentera Israel atau sebaliknya, Trump tidak memberikan jawapan secara langsung, sebaliknya berkata Gaza kekal dalam ‘situasi yang sangat kompleks’.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Israel menegaskan tiada pengunduran tenteranya dari kedudukan semasa di Gaza tanpa pelucutan senjata sebenar oleh Hamas.
Kedudukan itu merujuk kepada Garisan Kuning, iaitu zon pemisah di dalam Gaza yang dipersetujui sebagai kawasan pengunduran tentera Israel susulan gencatan senjata tahun lalu.
Perjanjian tersebut pada asalnya menetapkan Israel mengekalkan kawalan sementara di kawasan belakang Garisan Kuning, yang merangkumi kira-kira 53 peratus daripada wilayah Gaza.
Namun, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, baru-baru ini mendakwa tentera negaranya menguasai lebih 60 peratus kawasan berkenaan.
Hamas pula menegaskan, komitmen Israel untuk menghentikan serangan terhadap Gaza merupakan ‘prasyarat utama’ bagi meneruskan perjanjian, selain menuntut hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta menubuhkan sebuah negara yang merdeka.
Kumpulan itu turut mendakwa, rundingan yang dijalankan bersama pihak berkaitan dibuat secara ‘bertanggungjawab dan positif’, dengan sokongan konsensus dalam kalangan kumpulan politik Palestin.
The post Konflik Gaza: Siapa ‘tunduk’ dahulu, Israel atau Hamas? appeared first on Utusan Malaysia.

