Konflik Selat Hormuz: Kerajaan siap sedia, jika pekerja hilang kerja

LocalPolitics
29 Sep 2026 • 5:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Konflik Selat Hormuz: Kerajaan siap sedia, jika pekerja hilang kerja
Ramanan

KOTA BHARU – Kerajaan sedang membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kehilangan pekerjaan susulan kesan konflik geopolitik yang berpanjangan, termasuk perkembangan terkini di Asia Barat yang melibatkan Selat Hormuz.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, namun keadaan pasaran pekerjaan negara ketika ini masih terkawal walaupun konflik berkenaan memberi kesan kepada ekonomi global, termasuk sektor perkapalan dan bekalan gas.

Menurut beliau, kerajaan mengambil langkah awal untuk memastikan pekerja yang terjejas tidak dibiarkan tanpa sumber pendapatan sekiranya berlaku kehilangan pekerjaan.

“Perang di mana-mana negara tidak baik untuk mana-mana ekonomi. Memang ada kesannya, tetapi setakat ini kita melihat impaknya masih minimum.

“Namun, kita perlu bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan yang akan datang,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Terdahulu, beliau dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran Datuk sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-57 di Istana Balai Besar di sini.

Ramanan berkata, pekerja yang kehilangan pekerjaan boleh mendapatkan perlindungan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), selain dibantu mendapatkan pekerjaan baharu menerusi portal MyFutureJobs.

“Kita mempunyai PERKESO yang menyediakan bantuan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Sementara menunggu pekerjaan baharu, mereka boleh menggunakan portal MyFutureJobs untuk mencari pekerjaan yang setara atau lebih baik daripada pekerjaan sebelum ini.

“Ketika ini, hampir 400,000 kekosongan jawatan ditawarkan menerusi portal MyFutureJobs,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya berlaku pemberhentian pekerja, kerajaan mempunyai mekanisme bantuan termasuk sokongan kewangan melalui Perkeso sehingga enam bulan, tertakluk kepada syarat dan kelayakan penerima.

Mengulas kemampuan sektor ekonomi gig berdepan situasi ekonomi mencabar, Ramanan berkata, sektor tersebut dijangka terus mempunyai permintaan kerana menawarkan perkhidmatan yang diperlukan dalam kehidupan harian masyarakat.

Menurutnya, perkhidmatan seperti penghantaran makanan dan khidmat jurusolek masih mempunyai pasaran walaupun berlaku kelembapan ekonomi.

“Jika ekonomi tidak begitu baik sekalipun, orang masih berkahwin. Mungkin jurusolek tidak mendapat tempahan bagi acara tertentu, tetapi masih ada permintaan untuk majlis perkahwinan.

“Begitu juga dengan perkhidmatan penghantaran makanan. Dalam keadaan ekonomi yang sukar, orang tetap perlu makan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved