
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Thailand dan Kemboja bersetuju menerima Malaysia sebagai 'orang tengah' dalam membantu menyelesaikan konflik sempadan antara kedua-dua negara itu, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dijangka ke Malaysia, petang esok bagi membincang penyelesaian konflik berkenaan.
"Saya sempat berbincang dengan Menteri Luar Thailand dan Kemboja. Kedua-dua mereka menyatakan persetujuan bahawa tidak ada negara lain yang sepatutnya terlibat dalam isu ini. Mereka mempunyai keyakinan penuh terhadap Malaysia dan meminta saya menjadi mediator.
"Saya juga sedang menunggu panggilan telefon daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (Marco Rubio) kerana mereka ingin mengetahui bagaimana AS boleh membantu.
"Namun, saya berpandangan bahawa lebih baik Malaysia menjadi mediator terlebih dahulu kerana ini urusan dalaman ASEAN, dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN harus memainkan peranan itu,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Segambut di sini pada Ahad.
Mohamad berkata, kedua-dua negara itu mempunyai keyakinan tinggi terhadap Malaysia untuk menjalankan peranannya sebagai orang tengah.
Beliau berkata, Malaysia berpandangan tindakan segera yang perlu dilaksanakan ialah gencatan senjata bagi meredakan ketegangan, supaya rakyat mereka di sempadan dapat meneruskan kehidupan seharian.
Bagi penyelesaian menyeluruh antara kedua-dua negara itu, beliau mengulangi cadangan Malaysia agar perkara itu dirunding melalui mekanisme sedia ada iaitu Jawatankuasa Am Sempadan Thailand-Kemboja (GBC).
"Platform GBC ini sangat baik, kerana dalam isu-isu sempadan seperti ini, masing-masing sering saling menuduh… jadi biarlah pegawai-pegawai operasi daripada kedua-dua negara duduk berbincang secara langsung dalam GBC dan keluarkan kenyataan.
"Jadi kedua-dua pemimpin hanya perlu endors sahaja. Ini akan memberi jalan keluar secara terhormat tanpa perlu mana-mana pihak dipersalah dan melaksanakan gencatan senjata," katanya. - Bernama



