Konflik Thailand-Kemboja: M’sia Minta AOT Pantau Situasi - PM

13 Dec 2025 • 5:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) telah ditugaskan untuk memantau situasi di sempadan Thailand - Kemboja, susulan ketegangan terkini yang meletus baru-baru ini. 

Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, misi berkenaan diketuai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Menurut beliau, ia turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan kerajaan Amerika Syarikat (AS), bermula pada waktu yang sama.

“Dapatan pemantauan lapangan dan satelit ini akan dikumpulkan oleh AOT dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada Selasa, 16 Disember,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri menyatakan demikian selepas perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet hari ini.

Ia susulan perbincangan bersama Presiden AS, Donald Trump lewat tengah malam tadi.

Menerusi perbincangan berkenaan, Anwar menjelaskan peranan Malaysia yang menggesa kedua-dua negara agar bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan ASEAN. 

Katanya, Malaysia kekal bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi orang awam dan memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik ASEAN.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, laporan diperoleh daripada AOT akan memberikan gambaran objektif mengenai situasi semasa, termasuk kedudukan kedua-dua pihak, demi kepentingan akauntabiliti, pembinaan keyakinan serta pemeliharaan keamanan dan kestabilan serantau.

“Malaysia kekal fokus untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan komuniti antarabangsa bagi memastikan dialog, sikap bertenang dan diplomasi terus menjadi landasan utama,” katanya. 

Mengulas mengenai perbualan bersama Anutin dan Manet, Anwar berkata, beliau telah menyuarakan kebimbangan serius Malaysia.

Jelasnya, beliau turut menggesa kedua-dua pihak menghentikan segala bentuk permusuhan dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut.

“Ia termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, berkuat kuasa pada jam 10 malam 13 Disember 2025 (UTC+7),” katanya. - Getaran, 13 Disember 2025