Trump dakwa berjaya henti konflik sempadan Thailand, Kemboja

WorldPolitics
13 Dec 2025 • 9:04 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

BANGKOK - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan secara lantang bahawa Thailand dan Kemboja akhirnya tunduk kepada desakan antarabangsa untuk menghentikan pertempuran sengit di sepanjang sempadan.

Ia selepas konflik berdarah itu meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa hanya dalam tempoh seminggu.

Pertempuran yang tercetus akibat pertikaian sempadan era penjajahan sepanjang 800 kilometer itu mencetuskan gelombang perpindahan besar-besaran, memaksa hampir setengah juta penduduk melarikan diri daripada kawasan yang kini bertukar menjadi zon perang.

Kedua-dua negara sebelum ini saling menuding jari, masing-masing menuduh pihak lawan sebagai pencetus konflik, sekali gus menyalakan semula permusuhan lama yang tidak pernah benar-benar padam.

"Saya mengadakan perbualan yang sangat baik pagi ini dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, berhubung kebangkitan semula perang lama mereka yang amat mendukacitakan," kata Trump.

"Kedua-dua pemimpin telah bersetuju menghentikan semua tembakan berkuat kuasa petang ini dan kembali kepada Perjanjian Damai asal yang dibuat bersama saya dan mereka, dengan bantuan Perdana Menteri Malaysia yang hebat, Anwar Ibrahim," tegasnya dalam kenyataan yang disiarkan melalui platform Truth Social miliknya.

Trump turut menekankan bahawa Thailand dan Kemboja kini menunjukkan kesediaan untuk kembali kepada perdamaian dan mengekalkan hubungan perdagangan dengan AS, sambil mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas peranan pentingnya dalam meredakan ketegangan.

Selepas perbualan telefonnya dengan Trump, Anutin menegaskan bahawa dunia perlu tahu Kemboja komited kepada gencatan senjata.

"Pihak yang melanggar perjanjian perlu memperbetulkan keadaan bukan pihak yang dianiaya," katanya, sambil menyifatkan perbualannya dengan Trump sebagai berjalan dengan baik.

Gencatan senjata Julai lalu — hasil perantaraan AS, China dan Malaysia — kini kembali diuji selepas insiden periuk api yang mencederakan askar Thailand mendorong Bangkok menggantung perjanjian perdagangan baharu pada November.

Di Buriram, penduduk yang dipindahkan, Jirasan Kongchan, menuntut penyelesaian tegas. "Saya mahu Thailand dan Kemboja berbincang sesama sendiri terlebih dahulu, secara jelas dan tegas. Jika Kemboja melanggar perjanjian damai itu lagi, negara-negara ASEAN patut campur tangan, mungkin mengenakan sekatan," katanya.

Di Kemboja, Choeun Samnang, 54, berkata beliau lega mendengar Trump sendiri campur tangan. "Saya tidak mahu melihat negara-negara berperang. Saya mahu Kemboja dan Thailand hidup aman," katanya kepada AFP di pusat perlindungan Banteay Meanchey.

Trump sebelum ini menegaskan keyakinannya untuk mengembalikan keadaan ke landasan stabil, sambil berkata: "Thailand dan Kemboja, saya rasa saya perlu membuat beberapa panggilan telefon… tetapi kita akan kembalikan perkara ini ke landasan yang betul."

Dalam pada itu Anutin menolak dakwaan bahawa Trump akan mengaitkan rundingan perdagangan dengan konflik sempadan, sambil menegaskan Thailand akan memperoleh manfaat lebih baik berbanding negara lain. - 13 Disember, 2025

The post Trump dakwa berjaya henti konflik sempadan Thailand, Kemboja appeared first on Scoop.