
SHAH ALAM – Impian ke Tanah Suci tidak lagi sekadar angan-angan buat 10 individu bertuah apabila penyanyi, Hafiz Hamidun sedia menaja perjalanan umrah mereka.
Lebih menarik, tajaan itu terbuka kepada umat Islam yang kurang berkemampuan dan hanya perlu berkongsi kisah serta alasan mereka mahu menunaikan ibadah berkenaan.
Hafiz berkata, inisiatif tersebut merupakan caranya berkongsi rezeki selain membalas sokongan orang ramai yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.
Katanya, mereka yang berminat boleh menghantar video dan menulis komen mengenai sebab ingin mengerjakan umrah menerusi akaun media sosial miliknya atau Vacasia Tours & Travels Sdn. Bhd. (Vacasia).
“Saya akan memilih dan mengumumkan nama 10 individu tersebut. Mereka boleh menulis komen dan menghantar video mulai minggu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi promosi Pakej Umrah Selawat The Beloved dan Pakej Umrah Sunnah dan Hadis di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini, hari ini.
Hafiz yang juga Penasihat Korporat Vacasia berkata, beliau sendiri sendiri akan menyertai dua perjalanan umrah berkenaan pada Mac dan hujung tahun hadapan.
Sepanjang program itu, jemaah akan mengikuti pengisian bacaan selawat serta perkongsian sejarah tempat yang dilawati di Mekah dan Madinah.
Sementara itu, Penasihat Kehormat Vacasia, Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim berkata, pakej Umrah Sunnah dan Hadis akan memberi penekanan kepada penghayatan hadis sepanjang 12 hari perjalanan.
“Kita akan ajar 12 hadis pendek kepada mereka berkaitan tempat yang dilawati kelak.
“Saya berharap selepas tamat program umrah bersama Vacasia ini, kesemua jemaah dapat menghafal sebanyak mungkin hadis yang sudah disampaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Izhar yang juga Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, Vacasia menyasarkan penyertaan 3,000 umat Islam menerusi pakej umrah yang ditawarkan tahun ini dan tahun hadapan.
Jelasnya, pakej selama 12 hari itu ditawarkan pada harga serendah RM6,000 bagi perjalanan ke Mekah dan Madinah. – KOSMO! ONLINE
The post Kongsi sebab mahu umrah, Hafiz taja 10 individu appeared first on Kosmo Online.


