
PETALING JAYA – Industri hospitaliti dan perhotelan khususnya yang bertaraf mewah dan premium kini lebih cenderung membawa konsep pemasaran berasaskan pengalaman yang membolehkan pengunjung merasai meneroka pelbagai aktiviti dan program mendekati masyarakat, mendalami lebih dekat tentang keindahan flora dan fauna.
Nilai pengalaman yang mahal itu sukar diperoleh di mana-mana pasaran jadi ada pengunjung yang sanggup berbelanja untuk ‘membeli’ kenangan itu dengan menyertai aktiviti yang dianjurkan pihak hotel.
Bagi pihak pemain industri hospilatiti pula, inisiatif itu dilihat sebagai serampang dua mata untuk menjana pendapatan tambahan dengan kemasukan pengunjung ke hotel selain dapat juga memacu pertumbuhan ekonomi untuk dikongsi bersama komuniti setempat.
Salah satu pengembaraan eksklusif yang ditawarkan oleh Minor Hotels melalui hotel premium dan eksklusif yang terdapat di kawasan hutan hujan Payangan di Bali, Indonesia adalah dengan membawa tetamu meneroka salah satu kampung tertua di daerah tersebut iaitu Desa Taro.

Pakej lawatan itu adalah keunikan istimewa yang ditawarkan oleh Anantara Ubud Bali Resort (Anantara Ubud) yang merupakan satu-satunya hotel yang bekerjasama dengan pihak pengurusan sebuah komuniti di desa berkenaan untuk membawa pelancong meneroka kehidupan penduduk, melawat kampung dengan menaiki mini jip terbuka selain berkunjung ke ladang tanaman serta juga pusat konservasi unik kelip-kelip yang terdapat di situ.
Pengarah Pemasaran Komunikasi Anantara Ubud, Ni Nyoman Suryantini (Surya) berkata, keunikan pakej tersebut mendapat sambutan baik daripada pengunjung kerana ia akan membawa mereka mendekati lebih dekat tentang cara hidup, mengenali budaya, adat resam, susur galur kehidupan berkeluarga dalam komuniti kampung itu, cara mereka bertani dan juga dapat menikmati pengalaman minum kopi kampung serta kuih muih yang dibuat secara tradisional.
Menurut beliau, trend percutian pengunjung kini berbeza sebelum pandemik lalu, pengunjung sanggup berbelanja besar untuk memanfaatkan kelestarian, kehijauan, keharmonian dan keindahan alam semula jadi dan mencari ketenangan, pastinya akan memilih resort yang berada jauh dari kesibukan kota.
Bersandarkan faktor tersebut, premis yang menempatkan 85 bilik, suite dan vila yang dilengkapi dengan kolam renang itu menawarkan satu dimensi baharu kepada portfolio kumpulan Minor Hotels dalam menarik aliran masuk pelancong berkuasa beli tinggi.
“Kami mendapat tempahan dan pertanyaan daripada pelancong dari Eropah, China dan Timur Tengah mengenai hotel ini dan mereka benar-benar memanfaatkan pengalaman percutian di sini bersama keluarga dan juga orang tersayang.
“Pasaran ini juga sentiasa terbuka luas buat pengunjung dari negara jiran khususnya Malaysia, Singapura dan Brunei untuk berkunjung ke desa ini kerana ia memiliki keunikannya tersendiri yang akan membolehkan mereka membawa balik kenangan manis bersama,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Surya menjelaskan, Anantara Ubud bersesuaian untuk pelancong kelas pertengahan dan mewah yang mahukan privasi yang membolehkan mereka menikmati percutian berlandaskan kehijauan, elemen landskap semula jadi dan ritual kerohanian tempatan.
Setiap vila yang memiliki ruang yang luas dengan masing-masing menghadap persekitaran hutan menghijau membolehkan pengunjung menikmati momen segar dengan perudaraan yang sejuk, nyaman selain dihiburkan dengan bunyi kicauan burung, sekali sekala mendengar kokokan ayam dari kampung berdekatan.
Suasana sejuk pada waktu pagi dan malam akan membolehkan pengunjung berinteraksi dengan alam, menjalani rutin senaman di gimnasium yang disediakan atau menikmati sarapan pagi dengan barisan menu yang melazatkan sambil layanan ramah mesra daripada kakitangan hotel.
Lebih menarik, pengunjung yang menikmati sajian makanan dan minumannya di restoran di resort berkenaan turut menggunakan sumber tempatan seperti beras yang ditanam di kawasan kampung, herba dan pelbagai hasil tani komuniti yang akan memberikan limpahan pendapatan langsung kepada penduduk. -KOSMO! ONLINE
The post Konsep pemasaran berasaskan pengalaman berjaya tarik minat pelancong appeared first on Kosmo Online.




