Konsep rumah dalam hutan cipta ketenangan

PropertyArchitecture
6 Sep 2026 • 11:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Konsep rumah dalam hutan cipta ketenangan

DI sebalik kehijauan alam di Batang Kali, Selangor, terselit sebuah kediaman yang berdiri cukup megah.

Dikenali sebagai Sekebun Bunga, kediaman yang dijadikan inap desa itu bukan sekadar tempat untuk bermalam, sebaliknya sebuah ruang mengangkat idea kehidupan dengan alam melalui seni bina, dekorasi dan susunan.

Kediaman itu pada asalnya dibina sebagai retreat peribadi untuk pemiliknya, sebelum berkembang menjadi sebuah penginapan yang menawarkan pengalaman tinggal dalam suasana hutan.

Menurut pemilik kediaman yang dikenali sebagai Susean, idea asal rumah itu adalah hasil ilham suaminya yang berasal dari Kelantan dan sejak sekian lama begitu tertarik dengan kisah Cik Siti Wan Kembang.

“Inspirasi itu membawa kepada satu imaginasi tentang bagaimana sekiranya sebuah kediaman berkonsepkan istana dibina jauh di dalam hutan.

“Daripada idea itu, beberapa elemen dan bahagian istana diterjemahkan semula ke dalam konsep dekorasi Sekebun Bunga, menerusi pendekatan lebih santai, terbuka dan bersesuaian dengan persekitaran semula jadi,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, keunikan utama kediaman itu terletak pada hubungan dengan alam sekitar.

Rumah tersebut dikelilingi sungai yang jernih, sekali gus menjadikan bunyi dan latar pemandangannya cukup mempesonakan.

Justeru itu, elemen di sekeliling rumah tidak dianggap sebagai latar semata-mata, sebaliknya menjadi sebahagian daripada konsep reka bentuknya sendiri.

Image from: Konsep rumah dalam hutan cipta ketenangan
BILIK air yang berkonsepkan alam semula jadi.

Prinsip utama yang cuba diterapkan di kediaman itu adalah kelestarian dengan membawa alam semula jadi masuk ke dalam struktur dan kehidupan.

Menurut Susean lagi, kediaman itu pada asalnya dirancang menggunakan buluh, sebelum strukturnya diubah kepada gabungan besi dan kayu.

“Pilihan tersebut mencerminkan karakter kami, di mana elemen kayu menjadi pilihan saya, manakala besi pula lebih dekat dengan cita rasa suami.

“Gabungan kedua-dua bahan itu kemudian membentuk identiti visual kediaman yang kelihatan kukuh tetapi masih mempunyai kehangatan semula jadi,” ujarnya.

Katanya, mereka tidak berhasrat untuk membina sebuah rumah yang sekadar berada di dalam hutan.

Sebaliknya, mereka mahu membawa konsep ‘rumah dalam hutan’ dengan menjadikan persekitaran sebagai sebahagian daripada ruang kediaman.

Image from: Konsep rumah dalam hutan cipta ketenangan

Berbeza dengan rumah di kawasan bandar yang lazimnya memerlukan dinding, pintu dan pagar bagi tujuan privasi serta keselamatan, Sekebun Bunga memilih pendekatan lebih terbuka.

“Konsep ini paling jelas dapat dilihat pada ruang tamu yang tidak terhad kepada ruang dalaman.

“Kawasan taman di sekitar rumah seolah-olah menjadi lanjutan ruang tamu, sekali gus mengaburkan sempadan antara ruang dalam dan luar.

“Penggunaan pintu dan dinding juga dikurangkan bagi membolehkan cahaya, udara, kehijauan dan bunyi alam mengalir masuk ke dalam kediaman.

“Ruang bilik pula menjadi antara kawasan yang lebih tertutup bagi memberikan privasi kepada penghuni,” tambah Susean.

Dari segi dekorasi, pemilihan perabot dilakukan secara peribadi dan mempunyai nilai sentimental.

Sebahagian koleksi perabot diperoleh ketika Susean dan suaminya melancong.

Setiap satunya dipilih berdasarkan kesesuaian dengan konsep rumah serta minat mereka. Ada juga perabot lama yang sudah tidak digunakan diberi nafas baharu selepas dibaiki dan diubah suai.

Sementara sebahagian perabot pula dihasilkan sendiri menggunakan bahan buangan kayu.

Material seperti kayu, kulit dan besi menjadi elemen utama dalam dekorasi, sekali gus menghasilkan gabungan tekstur yang memberikan karakter.

Pada masa sama, identiti Sekebun Bunga turut diperkaya dengan pertemuan dua latar budaya iaitu unsur Cina dan elemen Melayu.

The post Konsep rumah dalam hutan cipta ketenangan appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved