Konsert Intifada Rabbani Bawa Pengisian Tentang Hidup, Nilai Pengorbanan

EntertainmentMusic
29 Jul 2025 • 7:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Kumpulan nasyid lagenda, Rabbani bakal mengadakan konsert mega yang dinamakan Konsert Intifada pada 20 September hadapan. 

Konsert yang akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, bermula 8.30 malam itu bakal melakar sejarah kerana konsert ini merupakan persembahan solo terbesar Rabbani selepas hampir tiga dekad dalam industri seni muzik. 

Menurut anggota Rabbani, konsert ini bukanlah semata-mata untuk berhibur, tetapi menjanjikan pengisian jiwa tentang hidup dan nilai pengorbanan.

image is not available

Untuk mencipta kelainan, Konsert Intifada juga akan membawakan sebuah segmen khas, ‘Jiwa’ yang menampilkan elemen dramatik berdasarkan lagu-lagu pilihan.   

“Konsert kali ini akan mempersembahkan seleksi lagu-lagu popular kami. Malah, kami juga akan memperkenalkan segmen ‘Jiwa’ yang menampilkan elemen dramatik berdasarkan lagu-lagu pilihan,” kongsi anggota kumpulan Rabbani, Azadan Abdurahman.

Antara karya yang bakal dipersembahkan termasuk lagu berjudul Hazara, yang mengangkat kisah keberanian sahabat Nabi SAW menyahut seruan perjuangan meskipun pada malam pertama perkahwinan mereka.

“Segmen ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi turut menyampaikan mesej mendalam berkaitan semangat perjuangan, ujian kehidupan dan nilai pengorbanan,” tambah Azadan.

Konsert yang akan berlangsung selama dua jam itu akan turut menampilkan penyanyi jemputan kumpulan nasyid Brothers, Yabang dan Aeydan bagi memeriahkan suasana. 

Rabbani pada mulanya dianggotai lapan anggota termasuk Allahyarham Mohd Asri Ibrahim, Azadan Abdul Aziz, Asri Ubaidullah, Zulkiflee Azman, Luqman Abdul Aziz, Muhammad Rithauddeen, Mohamad Afandi Shahbudin dan Ahmad Shafie.

Bagaimanapun, sejak pemergian vokalis utama Mohd Asri Ibrahim pada 2009, kumpulan itu telah membuat persembahan bersama tujuh ahli yang lain.

image is not available

Konsert Intifada dianjurkan oleh Universe Gateway yang terdahulunya pernah menganjurkan pelbagai acara hebat.

Tiket-tiket untuk konsert akan mula dijual pada 31 Julai, jam10 pagi di Ticket2U dan Fantopia.io dengan beberapa pilihan harga mengikut kategori. Harga paling rendah ialah RM150, dan yang paling tinggi RM258.

Terdapat juga pilihan tempat duduk berasingan jantina untuk mereka yang berminat. Jadi jika anda idamkan zon yang berasingan ini, sila buat belian awal kerana tempat adalah terhad.

Untuk maklumat lanjut dan terkini, ikuti saluran rasmi Universe Getaway di platform media sosial, @universe.gateway. - Getaran, 29 Julai 2025