Konsert Keempat GV9 – Tiada Penyingkiran, Pat Rasa Seperti Mati Hidup Semula, Paparan ‘VT’ Ganggu Emosi Peserta 

Music
10 Oct 2022 • 2:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Barisan peserta GV9 - Gambar Astro/AzrulRafie

Paparan video sebelum memulakan persembahan menjadi punca kenapa ada sesetengah peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) gagal menyempurnakan persembahan mereka dengan baik di konsert minggu keempat yang berlangsung malam semalam.

Perkara itu telah disuarakan oleh pihak juri yang dapat mengenal pasti masalah dalam nyanyian mereka kerana terganggu dengan emosi yang sarat gara-gara menonton video sebelum persembahan bermula. 

Untuk minggu keempat ini, kesemua peserta diberikan tugasan untuk menyampaikan lagu-lagu bertemakan kerohanian. Video yang dipaparkan sebelum setiap peserta membuat persembahan pula banyak memaparkan kisah-kisah kekeluargaan yang bersifat peribadi dan penuh beremosi. 

Fuad Rahman misalnya bercerita tentang kisahnya bersama ibu sehingga mengalirkan air mata jantannya sebelum persembahan bermula. 

image is not available
Fuad Rahman - Gambar Astro/AzrulRafie

Perkara ini turut diakui peserta yang mendapat markah tercorot pada malam itu iaitu Pat Candy yang membawakan lagu Kembara Di Tanah Gersang  dendangan asal Al-Jawaher. 

image is not available
Pat Candy - Gambar Astro/AzrulRafie

Kata Pat, video yang dipaparkan sebelum persembahan bermula benar-benar mengganggu konsentrasinya. 

“Sebelum persembahan bermula, saya cuba untuk jalan sana, jalan sini kerana saya tak mahu dengar apa yang dipaparkan dalam video itu. Tetapi apabila saya pandang belakang dan ternampak wajah anak saya, saya macam alamak!,” katanya sewaktu ditemui di sidang media. 

Biarpun mendapat markah tercorot, namun tuah menyebelahi Pat apabila tiada penyingkiran yang dilakukan untuk minggu keempat.

“Saya rasa seperti mati hidup semula. Sebenarnya ketika tinggal saya seorang di atas pentas, saya sudah melangkah ke hadapan untuk ucap selamat tinggal. Tetapi tiba-tiba keluar lagu saya untuk minggu hadapan. 

“Saya akan gunakan peluang kedua ini untuk memastikan saya tidak lagi berada dalam kedudukan tercorot,” katanya. 

Mengulas lanjut mengenai keputusan yang diambil oleh pihak produksi untuk tidak menyingkirkan peserta di minggu keempat, kata Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh,  keputusan ini diambil atas beberapa faktor.

“Minggu depan kita ada artis undangan kerana minggu bertemakan duet. Jadi kami rasa macam sayang  jika ada penyingkiran. Jadi apa kata minggu depan kita meriahkan, kita bagi peluang kepada 11 peserta kita untuk berduet,” katanya. 

Pada malam konsert keempat itu juga menyaksikan Jaclyn Victor kembali merampas gelaran juara mingguan apabila berjaya membuat persembahan yang memukau membawakan lagu, You Raised Me Up.

image is not available
Jac - Gambar Astro

Memandangkan bapa kepada hos GV9 iaitu Nabil Ahmad baru sahaja meninggal dunia pada Jumaat lalu, tugas beliau telah digantikan Sherry Al Hadad bergandingan bersama Elly Mazlein. 

image is not available
Elly dan Sherry- Gambar Astro/AzrulRafie

Berikut adalah kedudukan setiap perserta selepas konsert minggu keempat berlangsung; 

Jaclyn Victor (85 peratus), Bob Yusof (80.20 peratus), VE (79.10 peratus), Tomok (77.60 peratus), Hazrul Nizam (75.70 peratus), Shila Amzah (74.60 peratus), Dina Nadzir (68.20 peratus), Fuad Rahman (65 peratus), Asheed (64.20 peratus), Tom (58.50 peratus), (Pat Candy 55.60 peratus) – Getaran, 10 Oktober 2022