Konsert Siti Nurhaliza, Judika dikejutkan dengan insiden kebakaran

LocalEntertainment
15 Dec 2024 • 1:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kebakaran kecil melibatkan kotak bunga api yang diletakkan di atas perancah di belakang skrin latar pentas. Gambar kanan: Anggota bomba kemudiannya menjalankan tugas pemadaman menggunakan alat pemadam api sehingga padam.

KUALA LUMPUR - Konsert penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza bersama Judika di Stadium Merdeka dikejutkan seketika dengan insiden kebakaran kecil melibatkan kotak bunga api pada Sabtu.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada anggota bomba yang bertugas di konsert berkenaan pada jam 11.29 malam.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mokhtar Ramli berkata, seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah yang bertugas itu kemudiannya menjalankan kerja-kerja menangani insiden kecemasan itu.

"Anggota bomba yang bertugas awalnya mendapati berlaku kebakaran kecil yang melibatkan kotak bunga api yang diletakkan di atas perancah di belakang skrin latar belakang pentas.

"Anggota bomba kemudiannya menjalankan tugas pemadaman menggunakan alat pemadam api sehingga padam," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, kejadian bagaimanapun tidak melibatkan mangsa.

"Kebakaran itu ditangani dengan pantas oleh anggota bomba bertugas," katanya.