Konsesi lebuh raya diberi tempoh dua tahun muktamad rakan pelaksana sistem kutipan tol MLFF

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2025 • 3:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Konsesi lebuh raya diberi tempoh dua tahun muktamad rakan pelaksana sistem kutipan tol MLFF

image is not available

06/08/2025 - 15:28

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Kerajaan memberi tempoh dua tahun kepada semua syarikat konsesi lebuh raya untuk memuktamadkan rakan pelaksana bagi merealisasikan sistem kutipan tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dibuat susulan pembentangan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri pada 25 Julai lalu, yang menetapkan hala tuju baharu dalam pelaksanaan MLFF.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu akan dibuat menerusi model perniagaan-ke-perniagaan (B2B), iaitu penyedia perkhidmatan teknologi akan berunding secara terus dengan 33 konsesi lebuh raya sedia ada.

“Kemudian, pelaksanaannya tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) di Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan mengesahkan pelantikan konsortium SEP Synergy (M) Sdn Bhd dan Konsortium Jaringan Selangor Sdn Bhd (KJS) sebagai syarikat tol pusat bagi projek bernilai RM3.5 bilion telah terbatal secara rasmi pada 16 Disember tahun lalu, susulan kegagalan mencapai persetujuan dengan pihak konsesi lebuh raya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tetap komited untuk meneruskan inisiatif tersebut, dengan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) telah menjalankan bukti konsep sistem MLFF di Plaza Tol Alam Impian, Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA).

Sistem MLFF merupakan kaedah kutipan tol tanpa henti yang menggunakan gantri dilengkapi teknologi radio-frequency identification (RFID) dan pengecaman nombor plat automatik (ANPR), bertujuan menggantikan sistem kutipan tol konvensional yang sering menjadi punca kesesakan lalu lintas.

Pelaksanaan sistem itu juga dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi lebuh raya serta mengurangkan pelepasan karbon melalui pergerakan kenderaan yang lebih lancar.

Beberapa negara lain seperti Singapura, Korea Selatan dan Australia telah berjaya melaksanakan sistem tol tanpa palang sepenuhnya, sekali gus menjadi rujukan banyak negara lain terhadap keberkesanannya. - DagangNews.com

standard