Konsol Permainan Dengan Cip Intel Meteor Lake Pertama Diperlihatkan

TechnologyDigital
23 Oct 2023 • 12:32 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Salah satu daripada kelebihan cip pemprosesan Intel Meteor Lake yang akan dilancarkan pada penghujung tahun ini ialah kelebihannya untuk dimanfaatkan oleh peranti-peranti komputer dengan pelbagai jenis rekabentuk yang berbeza dengan menawarkan prestasi yang baik dan juga kecekapan penggunaan tenaga yang belum diperlihatkan sebelum ini.

Terkini, Emdoor, sebuah jenama pembuat peranti yang dikenali untuk PC bersaiz kecil dan juga tablet-tablet mereka telah memperlihatkan penawaran terbaru mereka, sebuah konsol permainan mudah-alih seakan-akan Steam Deck, ASUS ROG Ally dan juga Lenovo Legion Go.

image is not available

Dinamakan EM-GP080MTL, spesifikasi rasmi konsol ini juga diperlihatkan, yang termasuklah penggunaan CPU Intel Meteor Lake-H, pilihan memori sehingga 32GB LPDDR5X, dan sokongan untuk satu SSD PCIe Gen4 yang boleh mempunyai jumlah storan sebesar 2TB.

Dari segi sokongan grafik pula, Emdoor mengatakan bahawa cip grafik yang terbina didalam CPU Meteor Lake-H ini, iaitu Intel Arc 5 akan memberi dua kali prestasi lebih hebat berbanding cip grafik Intel Iris Xe sebelum ini. Tidak mengejutkan apabila ia dilhat bahawa cip Intel Arc 5 ini dibangunkan berdasarkan teknologi sama yang membangunkan siri grafik Intel Arc Alchemist.

image is not available

Dalam pada itu, konsol ini juga dilihat hadir dengan paparan skrin LCD bersaiz 8 inci, dan melalui tangkapan layar yang diperlihatkan pada video oleh Notebook Italia, ia mampu menggerakkan permainan AAA seperti God of War, tetapi pada resolusi dan tetapan yang tidak diberitahu setakat ini.

Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah konsol ini akan ke pasaran, ataupun samada ia hanyalah sebuah peranti konsep.