johardy03/06/2026 - 19:15 Dari kiri: CEO Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Sunview Group Berhad, HP Ong; Pengarah Urusan Kumpulan Cypark Resources Berhad, Datuk Ami Moris; Presiden dan CEO Kumpulan Terengganu Inc Sdn. Bhd., Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed; serta Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd., Datuk Shahrir Abdul Latiff, pada majlis pertukaran dokumen kontrak EPCC bernilai RM1.962 bilion bagi pembangunan projek Hibrid Hidro Solar Terapung (HHFS) Kenyir di Kuala Lumpur pada 3 Jun 2026. Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun - Sunview Group Berhad bersama rakan konsortiumnya, Cypark Renewable Energy Sdn. Bhd., memeterai kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM1.962 bilion bagi pembangunan loji fotovolta solar terapung Hibrid Hidro Solar Terapung (HHFS) berkapasiti 595MWac yang diintegrasikan dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) di Tasik Kenyir, Terengganu.
Majlis pertukaran dokumen berkenaan berlangsung sempena Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCON26) dan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof.
Kontrak tersebut dimeterai antara konsortium berkenaan dengan TI TNB Genco Solar Kenyir 1 Sdn. Bhd. (TI TNB Genco), sebuah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) dan Terengganu Inc Sdn. Bhd. bagi melaksanakan pembangunan projek HHFS Kenyir.
Kontrak EPCC itu menyusuli Surat Penerimaan yang diberikan kepada konsortium berkenaan pada 3 April 2026 dan menandakan peralihan projek tersebut daripada peringkat penganugerahan kepada fasa pelaksanaan penuh.
Dijadualkan siap pada 2028, projek HHFS Kenyir dijangka menjadi pembangunan fotovolta solar terapung terbesar di Asia Tenggara, sekali gus meletakkan Malaysia di barisan hadapan pembangunan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui berskala besar di rantau ini.
Projek itu dianggap sebagai komponen strategik dalam agenda peralihan tenaga negara, menyokong usaha memperkukuh keselamatan tenaga, mempercepat penggunaan tenaga bersih serta meningkatkan daya tahan sistem tenaga nasional menerusi integrasi teknologi solar terapung dan sistem penyimpanan tenaga bateri.
Kontrak Terbesar Pernah Diperoleh Sunview
Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sunview, HP Ong, menyifatkan pertukaran kontrak tersebut sebagai satu pencapaian penting bagi kedua-dua rakan konsortium serta satu kejayaan besar buat syarikat.
"Kami berbesar hati untuk meraikan pencapaian penting ini bersama rakan konsortium kami dan berasa amat berbangga apabila pertukaran kontrak ini disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, mencerminkan kepentingan strategik projek ini dalam menyokong agenda peralihan tenaga negara," katanya.
Menurut beliau, projek HHFS Kenyir merupakan kontrak terbesar yang pernah diperoleh Sunview setakat ini dan menandakan kemasukan kumpulan itu ke dalam pembangunan teknologi solar terapung berskala besar.
Katanya, projek berkenaan akan membolehkan Sunview menyumbang secara lebih signifikan kepada aspirasi tenaga boleh diperbaharui negara di samping mewujudkan nilai mampan kepada para pemegang kepentingannya.
Apabila siap kelak, projek itu dijangka menjadi penanda aras bagi pembangunan solar terapung pada masa depan di rantau ini dengan mempamerkan keupayaan menggabungkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi penyimpanan tenaga pada skala besar.
Projek HHFS Kenyir merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional yang lebih luas untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui serta memacu agenda penyahkarbonan jangka panjang Malaysia di bawah kerangka peralihan tenaga negara. - DagangNews.com





