
KLANG – Taktik sindiket menyeludup 135 batang rokok putih termasuk menggunakan kontena transit terbongkar selepas kesemua barangan itu dirampas dalam Op Sentinel baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan dari 1 hingga 31 Julai lalu itu turut membawa kepada rampasan rokok putih dalam dua lagi kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara.
Pengarah Kastam Selangor, Noraidah Ishak berkata, secara keseluruhan 14 kontena diperiksa, dengan 12 daripadanya berstatus transit.
Katanya, pemeriksaan terhadap 12 kontena berkenaan menemukan 126.57 juta batang rokok putih, manakala dua lagi kontena mengandungi 8.43 juta batang rokok putih.
“Kesemua rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM12.07 juta, manakala jumlah duti dan cukai terlibat mencecah RM91.4 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi sama turut merampas 5,672 kilogram (kg) tembakau kunyah bernilai RM1.54 juta termasuk cukai.
Katanya, tembakau berkenaan dipercayai sering digunakan warga asing dalam kehidupan seharian mereka.
“Rampasan turut melibatkan 14,488.54 liter minuman keras bernilai RM280,761 termasuk cukai. Ini termasuk hasil serbuan di dua buah premis tempatan di sekitar Lembah Klang,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan mendapati kesemua dagangan berkenaan berasal dari beberapa negara di Asia.
Katanya, sindiket turut menggunakan taktik mengikrarkan barangan berkenaan sebagai perabot dan pakaian bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan (d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE
The post Kontena transit sarat 135 juta batang rokok seludup appeared first on Kosmo Online.


