Kontinjen negara mampu capai sasaran 35 pingat emas

29 Jul 2022 • 11:34 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

UBON RATCHATHANI: Kontinjen negara ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 dilihat mampu merealisasikan sasaran 35 pingat emas ditetapkan berdasarkan prestasi memberangsangkan melibatkan beberapa acara sukan.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke AUG Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan berkata ia berikutan sukan seperti karate dan badminton disifatkan boleh menjadi lubuk emas dengan beberapa pingat berjaya dibawa pulang lebih awal buat kontinjen negara.

“Atlet Malaysia secara keseluruhannya menunjukkan prestasi baik dan cemerlang. Selepas enam jenis sukan berlangsung, semua atlet berjuang dengan jitu dan jaya tanpa sebarang masalah.

“Secara keseluruhannya, saya optimis Malaysia akan dapat mencapai sasaran pingat yang ditetapkan malah berdasarkan prestasi terkini atlet mungkin menjangkau daripada sasaran lebih cerah,“ katanya yang ditemui selepas acara pembukaan temasya AUG ke-20 di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat di sini semalam.

Berdasarkan pencapaian semasa, kem karate sehingga kini berjaya membawa pulang enam pingat emas serta berpeluang untuk menambah koleksi apabila bersaing bagi acara berpasukan hari ini.

Kem badminton yang meraih dua pingat emas masing-masing bagi acara berpasukan lelaki dan wanita juga berpeluang cerah untuk menambah koleksi emas mereka bagi acara individu lelaki dan wanita.

Sepanjang tiga hari temasya terbabit berlangsung menyaksikan Malaysia meraih pencapaian membanggakan dengan membawa pulang 16 emas, 22 perak dan 12 gangsa.

Temasya berkenaan diadakan selama 11 hari dengan acara terakhir dijadual berlangsung pada 6 Ogos. — Bernama