Kontrak baharu Dayang daripada Petronas bernilai kecil berikutan masih dalam fasa perintis – PublicInvest
diyana
09/06/2023 - 10:02
KUALA LUMPUR 9 Jun - Nilai kontrak yang diterima oleh Dayang Enterprise Holdings Berhad daripada Petronas Research Sdn Bhd adalah agak kecil berbanding kontrak perkhidmatan gabungan dan pentauliahan bersepadu (i-HUC) lain daripada Petronas Carigali, kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Dayang telah memperoleh kontrak tersebut bagi menyediakan perkhidmatan iHuC, namun nilainya tidak dinyatakan.
Firma penyelidikan itu berkata berdasarkan semakannya, anggaran nilai kontrak mungkin kira-kira RM10 juta untuk tempoh satu tambah satu tahun.
Jelasnya nilai kontrak adalah agak kecil memandangkan kerja masih dalam fasa perintis, berhubung dengan pembangunan tenaga boleh diperbaharui di platform bahagian atas luar pesisir.
“Ini kerana badan penyelidikan itu memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi baharu untuk pemasangan turbin angin pada platform bahagian atas luar pesisir,” katanya dalam nota hari ini.
Menurut PublicInvest, terdapat skop untuk peningkatan selanjutnya jika teknologi itu terbukti menjimatkan untuk ditingkatkan dan boleh direplikasi pada platform lain.
Firma itu menganggap perkembangan baharu ini sebagai sebahagian daripada penambahan buku pesanan dan tidak membuat perubahan pada anggaran pendapatan.
“Namun begitu, kami yakin dengan prospek kumpulan susulan perjumpaan pasca keputusan 1QFY23 baru-baru ini yang mengesahkan pandangan positif kami terhadap Dayang, dengan pendapatan dijangka kembali ke tahap penuh dari suku kedua dan seterusnya, dan beberapa kontrak yang tamat tempoh dijangka dilanjutkan dengan semakan menaik.,” ujarnya.
Mengulas lanjut, firma itu berkata beberapa pelaksanaan kontrak ditangguhkan disebabkan ketiadaan kapal daripada pelanggan menunjukkan bahawa pasaran kapal sokongan luar pesisir (OSV) kekal ketat.
PublicInvest juga percaya Dayang boleh mendapatkan pelanjutan kontrak dengan semakan menaik daripada kontrak utama dalam buku pesanannya yang kini bernilai RM1.3 bilion kerana garis masa yang ketat untuk pelanggan mengeluarkan tender baharu.
Firma itu mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran RM1.85 sesaham.
Setakat pukul 9:55 pagi ini, saham Dayang menokok 2 sen atau 1.7% kepada RM1.18, menilai modal pasarannya sebanyak RM1.37 bilion. -DagangNews.com


