Kontrak baharu pusat data tingkatkan buku tempahan Kerjaya Prospek kepada RM5.9 bilion - PublicInvest

LocalBusiness & Finance
4 Sep 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontrak baharu pusat data tingkatkan buku tempahan Kerjaya Prospek kepada RM5.9 bilion - PublicInvest Image from: Kontrak baharu pusat data tingkatkan buku tempahan Kerjaya Prospek kepada RM5.9 bilion - PublicInvest liza04/09/2026 - 10:30 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Sept – Kontrak terbaharu bernilai RM858 juta melonjakkan lagi jumlah kontrak yang diperoleh Kerjaya Prospek Group Berhad setakat tahun ini kepada RM3.2 bilion manakala buku tempahan tertunggak kumpulan itu pula meningkat 17.1% kepada RM5.9 bilion.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata jumlah itu mengukuhkan keterlihatan pendapatan Kerjaya Prospek bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 

Kontrak berkenaan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd daripada sebuah pemaju pusat data.

 

Ia membabitkan kerja pemasangan dalaman mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP) bagi sebuah pusat data di Iskandar Puteri, Johor.

 

Projek itu dijangka bermula pada suku ketiga 2026 dan disasarkan siap dalam tempoh lapan bulan.

 

Kontrak Baharu Kukuhkan Buku Tempahan

PublicInvest menganggarkan projek pusat data berkenaan akan menyumbang kira-kira RM26 juta kepada keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027.

 

Firma penyelidikan itu berkata sumbangan tersebut bersamaan kira-kira 9.6% daripada unjuran keuntungan Kerjaya Prospek bagi tempoh berkenaan, berdasarkan andaian margin keuntungan pada paras pertengahan satu digit.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek raih kontrak pusat data pertama bernilai RM858 juta di Johor

 

“Susulan kejayaan memperoleh kontrak itu, kami menaikkan andaian pengisian semula buku tempahan Kerjaya Prospek bagi tahun kewangan 2026 kepada RM4 bilion.

 

“Kerjaya Prospek terus memperkukuh portfolionya dengan memanfaatkan kepakaran teras dalam pembinaan, selain mengembangkan pangkalan pelanggan dan kehadirannya dalam segmen pertumbuhan tinggi seperti pusat data dan pembangunan perindustrian,” kata PublicInvest dalam nota kajiannya.

 

Unjuran Keuntungan Dinaikkan

Berikutan kontrak baharu itu, PublicInvest juga meningkatkan unjuran pendapatan Kerjaya Prospek bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 sebanyak purata 14.3%.

 

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan mengatasi pasaran (Outperform) terhadap saham Kerjaya Prospek dan menaikkan harga sasarannya kepada RM3.90 daripada RM3.30 sebelum ini.

 

Harga sasaran baharu itu dibuat berdasarkan penilaian 14 kali pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2027.

 

Pada harga semasa RM3.08, harga sasaran RM3.90 membayangkan potensi pulangan sebanyak 26.6%.

 

PublicInvest menjangkakan hasil Kerjaya Prospek meningkat kepada RM2.67 bilion pada 2026 daripada RM2.25 bilion pada 2025, sebelum berkembang kepada RM3.32 bilion pada 2027 dan RM3.63 bilion pada 2028.

 

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti pula dijangka meningkat kepada RM288.2 juta pada 2026 daripada RM219.1 juta pada 2025, sebelum terus meningkat kepada RM348.4 juta pada 2027 dan RM384.1 juta pada 2028. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved