Gamuda menang kontrak RM2.54 bilion bina stesen keenam Sydney Metro West di Australia

WorldBusiness & Finance
4 Sep 2026 • 11:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gamuda menang kontrak RM2.54 bilion bina stesen keenam Sydney Metro West di Australia Image from: Gamuda menang kontrak RM2.54 bilion bina stesen keenam Sydney Metro West di Australia liza04/09/2026 - 11:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Sept – Gamuda Bhd memperoleh kontrak bernilai RM2.54 bilion bagi projek pembangunan bersepadu Stesen Parramatta di bawah projek Sydney Metro West di Australia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata, projek itu dianugerahkan oleh Sydney Metro kepada Riverside Link Consortium yang terdiri daripada Gamuda Engineering Pty Ltd, Gamuda (Australia) Pty Ltd dan MTR Corporation (Australia) Pty Ltd.

 

“Kontrak berkenaan melibatkan kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan stesen metro Parramatta pada masa hadapan, termasuk infrastruktur dan kemudahan berkaitan stesen tersebut.

 

“Projek itu dijangka siap pada tahun 2032, selaras dengan sasaran pembukaan perkhidmatan Sydney Metro West,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Projek Stesen Keenam Gamuda Di Sydney

Gamuda berkata, projek Parramatta itu akan menjadi stesen keenam di sepanjang jajaran Metro West yang dilaksanakan oleh Gamuda Engineering Australia untuk Sydney Metro.

 

Menurut kumpulan itu, penganugerahan kontrak berulang tersebut mencerminkan tahap keyakinan tinggi Sydney Metro terhadap keupayaan dan kepakaran Gamuda dalam melaksanakan projek pembinaan stesen metro.

 

Ia juga dijangka terus memperkukuh rekod pencapaian dan kedudukan Gamuda dalam industri pembinaan infrastruktur pengangkutan di Australia.

 

Gamuda kini semakin aktif dalam pasaran Australia menerusi penglibatannya dalam beberapa projek infrastruktur berskala besar, khususnya pembangunan rangkaian pengangkutan awam di Sydney.

 

“Kejayaan memperoleh projek terbaharu tersebut turut mengembangkan lagi pengalaman dan kelayakan Gamuda dalam melaksanakan pembangunan stesen di negara berkenaan,” katanya.

 

Parramatta Bakal Jadi Pusat Perniagaan Utama

Gamuda berkata, Parramatta berada pada kedudukan strategik untuk berkembang sebagai pusat perniagaan kedua Sydney dan menjadi antara kawasan utama di tengah-tengah wilayah Western Sydney.

 

Kawasan itu juga dijangka menerima manfaat daripada pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Western Sydney yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

 

Menurut Gamuda, pembangunan infrastruktur pengangkutan dan lapangan terbang berkenaan dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan hartanah di kawasan Western Sydney.

 

Dengan Sydney Metro West disasarkan untuk mula beroperasi pada 2032, permintaan terhadap pembangunan kediaman dan komersial berkualiti tinggi yang mempunyai akses pengangkutan baik di sekitar kawasan Stesen Parramatta dijangka meningkat dengan ketara.

 

Perkembangan tersebut membuka potensi lebih besar kepada pembangunan kawasan sekitar stesen, sekali gus menjadikan Parramatta antara lokasi penting bagi pertumbuhan masa depan Sydney. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved