hamden28/04/2026 - 10:23 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 April - Kontrak jangka panjang kedua daripada PETRONAS Carigali bukan sahaja menjamin keterlihatan pendapatan Uzma Bhd, namun satu testimoni keyakinan pelanggan kepada kumpulan itu, menurut Phillip Capital Research (PhillipCapital).
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun nilai kontrak tidak didedahkan, pihaknya menganggarkan jumlah nilai kontrak sekitar RM80 juta bagi tempoh 8 tahun.
"Dengan andaian margin keuntungan bersih sebanyak 7%, kontrak ini dijangka menyumbang kira-kira RM1 juta keuntungan selepas cukai (PAT) sepanjang tempohnya, mewakili kira-kira 1% daripada unjuran pendapatan FY27E kami," katanya dalam nota kajian hari ini.
Uzma menerusi anak syarikat milik penuhnya, Uzma Engineering Sdn Bhd meraih kontrak baharu selama lapan tahun daripada PETRONAS Carigali bagi projek huluan (upstream) di bawah operasi pengembangan semula medan minyak Bayan Fasa 3.
Skop kerja melibatkan reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penghantaran satu unit modul suntikan air mudah alih dalam tempoh fasa awal selama satu tahun.
Selepas itu, Uzma akan melaksanakan kerja pemasangan dan pentauliahan sebelum meneruskan operasi serta penyelenggaraan (O&M) bagi tempoh tujuh tahun berikutnya.
Ini merupakan kontrak rumusan pengeluaran kedua bagi operasi dan penyelenggaraan modul suntikan air mudah alih (PWIM), selepas kontrak pertama pada FY21, sekali gus menandakan keyakinan berterusan pelanggan.
Menurut PhillipCapital, ini juga merupakan kemenangan kontrak ketiga Uzma dalam tempoh tiga bulan, menjadikan jumlah kontrak baharu terkumpul tahun ke tarikh (YTD) kepada RM740 juta dan meningkatkan buku tempahan tertunggak kepada RM4.1 bilion, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan serta menyokong prospek pertumbuhan jangka sederhana yang lebih mantap.
Firma penyelidikan itu juga tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kerana kontrak ini telah diambil kira dalam andaian sedia ada.
"Kami mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.10, berdasarkan gandaan PE 8 kali ke atas EPS FY27E.
"Uzma kini diniagakan pada PER 3 kali bagi FY27E, yang kami anggap menarik memandangkan prospek pendapatan yang semakin kukuh, disokong oleh kemenangan kontrak baharu serta pendedahan kepada pemulihan aktiviti huluan," katanya.
PhillipCapital menambah risiko utama terhadap saranan BELI itu termasuk pesanan kerja yang lebih rendah daripada jangkaan, kelewatan projek yang tidak dijangka, serta peningkatan kos pelaksanaan projek. - DagangNews.com





